suria

Tanpa ilmu asas perakaunan, pelajar UiTM catat sejarah dapat gelaran tertinggi Malaysia, dunia

Bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak itu meneruskan kecemerlangannya di universiti apabila memperoleh skor tertinggi dalam peperiksaan FA1 walaupun tidak mempunyai pengetahuan asas dalam mata pelajaran perakaunan sebelum ini. FOTO: Facebook Taman Sri Gombak.

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) menzahirkan rasa bangga apabila seorang pelajar Fakulti Perakaunannya layak dianugerahkan gelaran tertinggi di Malaysia dan dunia apabila memperoleh skor 100 peratus bagi kertas Recording Financial Transactions (FA1).

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim, berkata pelajar program Certified Accounting Technician (CAT), Hakeem Mohammad Akmal, 18, mendapat markah penuh dalam peperiksaan program perakaunan profesional bagi sesi Julai hingga Disember 2019, baru-baru ini.

"Pencapaian itu melayakkan beliau dianugerahkan gelaran tertinggi di Malaysia dan di dunia oleh badan profesional perakaunan, The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), United Kingdom.

"Kejayaan tersebut membuktikan dengan kesungguhan dan usaha yang gigih serta sokongan padu pihak universiti, rakyat Malaysia boleh mencapai pengiktirafan di arena global,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Menurutnya, pelajar berkenaan melanjutkan pengajian di UiTM pada Julai lalu selepas memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mohd Azraai berkata bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak itu meneruskan kecemerlangannya di universiti apabila memperoleh skor tertinggi dalam peperiksaan FA1 walaupun tidak mempunyai pengetahuan asas dalam mata pelajaran perakaunan sebelum ini.

"Beliau merupakan pelajar aliran sains semasa di sekolah menengah namun memutuskan untuk menukar bidang kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu dan lebih mencabar," katanya.

Sementara itu, Hakeem menyifatkan interaksi antara pelajar dan pensyarah adalah sangat penting bagi menjadikan proses pembelajaran lebih berkesan.

Berkongsi petua mengenai pencapaiannya, anak ketiga daripada lima beradik itu tetap menjalani aktiviti bersama rakan seperti menonton filem dan bersukan namun meletakkan batasan serta memantau kegiatannya supaya dapat seimbang dengan pelajaran.

"Saya bersyukur dikelilingi rakan dan pensyarah yang sangat membantu walaupun saya selalu mengajukan banyak pertanyaan dalam kelas. Selain itu, pensyarah yang mengajar subjek ini juga sangat membantu semasa dan selepas waktu kuliah," katanya.

Beliau turut menyatakan perancangannya untuk melanjutkan pengajian di ACCA setelah menamatkan program CAT bagi meneroka kerjaya dalam bidang percukaian kerana dilihat mencabar serta mempunyai peluang pekerjaan yang luas di Malaysia. -Bernama

akaun, ACCA, UiTM, FA1, Hakeem Mohammad Akmal

Artikel Lain