suria

Kali terakhir dilihat pada Khamis, pesakit mental ditemui mati lemas di Sungai Perak

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah lemas.

SEORANG pesakit mental ditemukan mati lemas di Sungai Perak di Kampung Pasir Salak, Kampung Gajah dekat Parit, Perak, pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso berkata mayat lelaki berumur 33 tahun itu ditemukan di tebing sungai dalam keadaan tertiarap pada kira-kira pukul 8.50 pagi.

“Hasil pemeriksaan mayat mendapati tiada kesan perbuatan jenayah. Pengecaman mayat dilakukan oleh ibu mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Barudin berkata mangsa yang beralamat di Kampung Telok Sena, Lambor Kiri, menghidap sakit mental dan sedang menerima rawatan penyakit itu di Hospital Teluk Intan dan kali terakhir mangsa dilihat oleh ibunya keluar dari rumah Khamis malam selepas mandi dan tidak pulang ke rumah selepas itu.

Usaha mencari mangsa telah dilakukan keesokan harinya namun gagal sehinggalah mayatnya ditemukan kira-kira lapan kilometer dari dari rumahnya melalui sungai.

Barudin berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah lemas. - BERNAMA.

sakit mental, lemas

Artikel Lain