suria

KPDNHEP rampas minyak masak bersubsidi 50,000 kilogram, tiga suspek ditahan

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang Mohd Suffian Mohd Abas (kiri) bersama pegawai melihat minyak masak bersubsidi yang berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah premis haram di Taman Pandan Dua, Kuantan. Foto: Bernama

SEBANYAK 50,000 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai lebih RM120,000 berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah premis haram di Taman Pandan 2 di Kuantan, petang Selasa.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pahang Mohd Suffian Mohd Abass berkata rampasan minyak masak dipercayai untuk diedar ke negeri lain secara haram itu adalah hasil risikan anggotanya yang mengekori sebuah lori tangki ke premis berkenaan.

“Selepas lori berkenaan singgah di sebuah premis lain di Gambang, di sini, tanpa menurunkan muatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa, ia meneruskan perjalanan ke lokasi premis haram di Taman Pandan 2 di mana pihak KPDNHEP telah membuat serbuan,” katanya kepada pemberita.

ARTIKEL BERKAITAN: Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis haram itu dijadikan tempat memunggah minyak masak berkenaan untuk dipindahkan ke dalam bekas kontena yang boleh memuat 1,000 kilogram minyak masak bagi setiap kontena.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat sebuah lagi lori di premis haram berkenaan. Secara keseluruhannya, KPDNHEP menyita semua peralatan di premis itu termasuk 20 bekas kontena dan dua buah lori,” katanya.

Tiga suspek yang berumur antara 40-an hingga 50-an turut ditahan bagi merekod keterangan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, katanya. - BERNAMA

minyak masak, KPDNHEP

Artikel Lain