suria

Peguam Negara dedah tak pernah keluar arahan gugur kes cabul pelajar maahad tahfiz di Perak

Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas. -foto BERNAMA

JABATAN Peguam Negara (AGC) tidak mendakwa suspek-suspek yang didakwa telah mencabul seorang pelajar sekolah Tahfiz berusia 10 tahun kerana tidak cukup bukti untuk membuktikan kes prima facie terhadap mereka, kata Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau berkata kepentingan awam dalam perkara itu memerlukan fakta-fakta sahih untuk didedahkan.

"Siasatan polis dalam kes ini bermula dengan ibu kepada pelajar tersebut membuat laporan polis pada 14 Ogos 2016 mendakwa anaknya, ketika itu berusia 10 tahun, (dikatakan telah diliwat oleh tiga pelajar senior, berusia antara 12 tahun hingga 18 tahun (suspek), di sekolah mereka di Manjoi, Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Pusat tahfiz terbabit kes cabul diarah tutup - Khalid Samad

"Polis melakukan siasatan dengan menemubual mangsa, suspek-suspek dan saksi seperti guru, kakitangan dan rakan sebilik mangsa dan rakan-rakan sekolah yang lain," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Thomas berkata, mangsa juga telah menjalani pemeriksaan perubatan di hospital awam dan kenyataan yang direkodkan oleh polis dan laporan perubatan itu menjadi sebahagian daripada kertas siasatan (IP) yang biasanya dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan.

Beliau berkata Kertas Siasatan dipertimbangkan oleh Jabatan Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang ditugas mengendalikan kes itu berpendapat bahawa tiada kesalahan dilakukan.

"Oleh kerana tiada bukti lain ketika itu diperoleh untuk polis menjalankan siasatan lanjut, Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan arahan “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA) pada September 2016.

"Perkara itu terhenti di situ. Kertas Siasatan dibuka semula pada Februari 2017 berikutan ketersediaan bukti baharu dan Kertas Siasatan dikembalikan semula kepada Jabatan Peguam Negara.

"Timbalan pendakwa raya dalam kes itu mengkaji setiap bukti yang tersedia oleh polis termasuk bukti baharu. Oleh kerana tidak cukup bukti untuk membuktikan kes prima facie terhadap suspek-suspek atau orang lain, Timbalan Pendakwa Raya membuat kesimpulan buat kali kedua pada Februari 2018 bahawa siasatan tidak perlu diteruskan, " katanya.

Beliau berkata surat aduan bertarikh 3 Jun 2019 telah dihantar oleh ibu pelajar tersebut kepada Majistret yang mengadu bahawa tiada tindakan telah diambil terhadap pelaku walaupun dia telah membuat dua laporan polis pada 2016.

Thomas bagaimanapun berkata salinan surat itu tidak dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

"Majistret memutuskan untuk mengambil maklum mengenai aduan ibu mangsa. Pada 5 Ogos 2019, Majistret menyerahkan kepada Pejabat Pendakwa Negeri Perak notis menyatakan bahawa kes ini telah ditetapkan untuk disebut pada 9 Oktober 2019 di hadapan Majistret untuk ibu mangsa diperiksa berhubung dengan surat aduannya.

"Pemeriksaan akan dijalankan oleh Majistret dalam menjalankan kuasa Majistret di bawah Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah (CPC)."

Beliau seterusnya berkata Pejabat Pendakwa Perak memberi respon kepada Majistret melalui surat bertarikh 27 Ogos 2019 dengan memberikan maklumat mengenai status sebenar siasatan dan menjelaskan bahawa NFA telah diarahkan.

Pejabat Pendakwa Negeri Perak menjelaskan bahawa ibu mangsa tidak seharusnya memfailkan aduan di bawah Seksyen 133 CPC kerana polis telah membuka kertas siasatan berhubung laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa pada 2016, perkara itu disiasat dan keputusan NFA telah dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, katanya.

“Minggu lepas, media melaporkan bahawa Majistret menolak permohonan ibu mangsa di bawah Seksyen 133 CPC.

Portal berita, Malay Mail melaporkan pada 14 Oktober 2019 bahawa Majistret membuat keputusan selepas mahkamah menerima surat dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Perak yang memperincikan arahan bertulis oleh saya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Laporan itu tidak benar. Tidak ada arahan tertulis yang dikeluarkan oleh saya dan sebenarnya langsung tidak disebut dalam surat Pejabat Pendakwa Raya Negeri Perak kepada Majistret," katanya.

Thomas berkata laporan yang sama juga menyatakan bahawa Malay Mail sedang mendapatkan penjelasan daripada beliau tentang mengapa kes itu diarah untuk digugur.

"Sekali lagi, ini tidak benar. Pejabat perhubungan awam Jabatan Peguam Negara ataupun saya sendiri tidak menerima sebarang pertanyaan untuk mendapatkan penjelasan dari Malay Mail. Laporan yang tidak tepat itu pada 14 Oktober dikutip oleh banyak portal lain, " katanya.

Thomas berkata dalam undang-undang, Majistret tidak seharusnya mengambil maklum di bawah Seksyen 133.

Beliau berkata aduan ibu mangsa bahawa tiada siasatan dijalankan berhubung laporan polis yang dibuatnya pada 2016 adalah tidak benar.

"Majistret hanya boleh menjalankan kuasa untuk memeriksa pengadu di bawah Seksyen 133 CPC, jika tiada siasatan dilakukan oleh pihak polis, yang jelas tidak berlaku, " katanya.

Beliau berkata keputusan Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes itu adalah selaras dalam menjalankan kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Mengikut Perlembagaan terserah kepada Peguam Negara (sebagai Pendakwa Raya) untuk menjalankan kuasa mengikut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau tidak meneruskan apa-apa prosiding bagi apa-apa kesalahan ". Beliau mempunyai kawalan dan arahan berhubung dengan semua pendakwaan jenayah di bawah undang-undang.

Dalam kes ini, seperti ribuan kes lain, kuasa untuk tidak memulakan prosiding jenayah/NFA telah dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya bagi pihak Pendakwa Raya," kata Thomas.- BERNAMA

Tan Sri Tommy Thomas, tahfiz, cabul

Artikel Berikut

Artikel Lain