suria

Beberapa kawasan pantai barat antara diberi tumpuan hadapi musim tengkujuh

Cameron Highlands antara lokasi yang diberi perhatian pada musim tengkujuh ini.

PINTAS Utama Sdn Bhd (PUSB) sentiasa memastikan kakitangannya bersedia menghadapi masalah runtuhan cerun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya ketika musim tengkujuh.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSB, Datuk Ir Marhalim Mohamed berkata, sebagai sebuah syarikat berteraskan pembinaan infrastruktur yang mempunyai kepakaran dan teknologi dalam kerja-kerja pembaikan cerun di Malaysia, syarikat ini sentiasa menilai dan melakukan pemantauan cerun yang berisiko tinggi untuk runtuh.

“Kami memberikan fokus utama di beberapa kawasan yang amat berisiko seluruh jalan Persekutuan dan jalan Negeri di Semenanjung Malaysia.

“Beberapa kawasan di pantai barat turut diberikan perhatian lebih antaranya laluan Cameron Highlands, Lojing, Gua Musang dan Hulu Terengganu.“Manakala sebelah utara pula adalah Wang Kelian di Perlis dan laluan Balik Pulau - Teluk Bahang di Pulau Pinang,” katanya yang menyertai Kongres Jalan Raya di Abu Dhabi pada Ahad.

Katanya, kawasan selatan yang diberikan tumpuan semasa musim hujan ini adalah sekitar Kuala Pilah, Bukit Putus dan Mersing.Beliau berkata, sepanjang tempoh dua tahun bermula 2017, PUSB telah menyiapkan lebih daripada 200 projek cerun dan kerajaan telah memperuntukkan hingga RM300 juta bagi menangani permasalahan runtuhan cerun yang akan kerap berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, teknologi yang digunakan bukan hanya memberi kemudahan ketika proses pembinaan cerun malah memberi nilai tambah dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian (kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Ir Marhalim (dua dari kiri) ketika Kongres Jalan Raya Dunia 2019 di Abu Dhabi Ahad malam.

“Kami tidak kompromi soal keselamatan, jadi syarikat sentiasa menggunakan teknologi terkini dalam pembinaan dan pemantauan cerun bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.

“Selain pemantauan manual, syarikat menggunakan kaedah pemantauan menggunakan dron yang dilihat efisien bagi memastikan status dan kedudukan cerun selamat dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Ir Marhalim berkata, PUSB yang memiliki gabungan pekerja berpengalaman dan kepakaran tinggi meletakkan reka bentuk dan membina projek infrastruktur sebagai fokus utama syarikat.

Katanya, PUSB amat berkemahiran dalam melaksanakan dan menyampaikan projek-projek pembangunan infrastruktur dari sebarang saiz atau kerumitan bermula peringkat perancangan induk sepanjang penyiapan pembinaan.

“Kami mempunyai perancang, pakar geologi, geoteknikal dan jurutera yang mahir dalam bidang masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Ir Marhalim berkata, selepas hampir 25 tahun menerajui pasaran Malaysia dalam pembinaan insfrastuktur dan kerja-kerja pembaikan cerun, PUSB mengintai pasaran Asia Tenggara dan menyertai Kongres Jalan Raya di Abu Dhabi untuk mencari teknologi baru dan menjalinkan kolaberasi dengan syarikat luar.

Beliau berkata, sudah tiba masanya mereka meluaskan empayar perniagaan ke pasaran yang lebih luas sesuai dengan saranan kerajaan yang mahukan syarikat tempatan meneroka pasaran bebas.

“Penglibatan syarikat kami sebagai pempamer ini juga adalah peluang terbaik untuk memasarkan perkhidmatan pembinaan cerun yang kami gunakan di negara ini kepada dunia dan merisik teknologi baru untuk diadaptasi,” katanya. -Sinar Harian

Musim tengkujuh, pantai barat, cerun

Artikel Lain