“Bukan saja cuci najis, kutu pun kami cari” - Semasa | mStar

“Bukan saja cuci najis, kutu pun kami cari”

Sebahagian guru di SK Balar Gua Musang sedang mencuci rambut anak-anak murid Orang Asli yang dijangkiti kutu.

CABARAN guru bertugas di pedalaman dan bandar ternyata berbeza walaupun matlamatnya satu untuk mendidik anak bangsa.

Bagi yang diberi tanggungjawab mendidik anak Orang Asli misalnya, tentu sekali pengalaman berbeza apabila perlu melalui laluan balak, menaiki bot menyusuri sungai sebelum tiba di penempatan dan sekolah.

Namun ramai tidak tahu, selain bergelumang dengan selut lumpur, guru ini turut melaksanakan tugas-tugas lain yang mungkin tidak dirasai guru-guru di kawasan bandar.

Selain memastikan proses pembelajaran berlangsung dengan lancar, mereka juga berkhidmat untuk tugas khas seperti memandikan murid, membersihkan kelas selepas murid terbuang air kecil dan besar dalam kelas serta membasmi kutu di kepala.

Guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Gua Musang, Mohd Faizul Nazwan Foizi, 37, berkata, situasi itu sudah hampir dua tahun dilaluinya sejak berkhidmat di sekolah pedalaman itu.

Katanya, mungkin situasi itu tidak pernah dilalui oleh rakan-rakan guru di bandar, namun itulah salah satu cara dia menyelami kehidupan masyarakat Orang Asli dengan lebih dekat.

"Kebanyakan anak-anak Orang Asli tidak mudah mesra, kita perlu memujuk dan mendekati dengan pelbagai cara. Bila mereka kenal kita, barulah mereka lebih mesra.

"Saya pernah mencuci najis murid yang terbuang air besar di dalam kelas termasuk memandikannya sekali. Bila ada kejadian seperti ini, satu kelas kena cuci.

"Kebersihan diri murid juga menjadi tugas kita termasuk kebersihan kuku dan pakaian kerana mereka tinggal di asrama. Kutu pun kena cari," katanya. Baru-baru ini, SK Balar di bawah anjuran Unit Kaunseling mengadakan Program Kesihatan Membasmi Kutu Kepala untuk semua 290 murid termasuk kelas pemulihan dan pra sekolah.

Bagi guru pemulihan, Kamal Shahriman Md Yusof, pelbagai cabaran dalam menguruskan murid-murid di sekolah pedalaman.

"Di kelas pemulihan, kita mempunyai 31 murid dan kesemuanya dijangkiti kutu kepala. Program ini sangat bagus bagi membasmi jangkitan," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Balar, Ab Hadi Sulaiman berkata, inisiatif untuk membasmi kutu dibuat setelah melihat keperluan dalam kalangan murid.

"Kesemua murid dijangkiti kutu kepala dan mereka tiada sebarang rawatan atau ubat untuk membasmi kutu.

"Ada di antara mereka yang tinggal di asrama akan bergilir-gilir mencari kutu sama sendiri. Jadi, pihak sekolah mengambil tanggungjawab ini untuk memastikan keselesaan mereka.

"InsyaAllah, kita akan terus memastikan kesihatan dan kebersihan murid-murid di tahap yang lebih baik," katanya.-SinarHarian




kutu , Orang Asli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.