suria

Riau diisytihar darurat! Pelajar Malaysia dipindahkan

Petugas berusaha memadamkan kebakaran hutan di Riau. -foto AFP

WILAYAH Riau diisytiharkan berstatus darurat pencemaran udara berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah melebihi 500.

Gabenor Riau, Syamsuar menetapkan status darurat itu bermula semalam sehingga 31 Oktober ini, bergantung kepada keadaan semasa.

Memetik media tempatan, Syamsuar berkata pemerintah Riau kini menyediakan tempat pemindahan sementara yang kondusif terutamanya untuk anak-anak dan wanita hamil.

Sementara itu Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI), Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun, berlepas ke Pekanbaru pagi ini, bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung keadaan pelajar Malaysia di provinsi itu.

Sejak 13 September lepas, kualiti udara di provinsi Riau dan Jambi dikategorikan sangat tidak sihat.

Pelajar Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Pekanbaru telah diarahkan bercuti sejak 13 September lepas. Terdapat seramai 214 pelajar Malaysia di universiti tersebut.

Manakala Universitas Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin di Jambi yang mempunyai 110 pelajar Malaysia juga dilaporkan telah diarahkan bercuti.

Difahamkan sejumlah pelajar telah pulang sementara ke Malaysia.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Wisma Putra dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mengadakan perbincangan di Kuala Lumpur, bagi proses pemindahan pelajar Malaysia.

Seramai 280 pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi, Indonesia akan dipindahkan ekoran pengumuman darurat di Riau akibat jerebu, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Daripada jumlah tersebut, 160 pelajar akan dibawa pulang ke Malaysia manakala 120 akan dipindahkan ke Dewan Malaysia di Jakarta, Indonesia, kata NADMA dalam kenyataan hari ini.

NADMA, Wisma Putra dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi berkaitan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan operasi pemindahan dan membawa pulang 160 pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi, kata agensi itu.

Menurut Konsulat Malaysia di Pekanbaru dan Education Malaysia Indonesia, 280 pelajar yang perlu dipindahkan itu terdiri daripada 183 orang di Pekanbaru dan 97 di Jambi.

Menurut NADMA, Gabenor Riau, Syamsuar, telah mengisytiharkan darurat bermula 23 September hingga 31 Oktober dan akan dilanjutkan jika keadaan pencemaran udara tidak berubah. -Bernama

jerebu, Riau, darurat, Jambi

Artikel Lain