suria

Jerebu: Bacaan IPU menurun, sebahagian besar kawasan masih tidak sihat

Keadaan berjerebu di Jalan Sultan Yahya Petra-Kubang Kerian di Kota Bharu, Kelantan dengan bacaan IPU mencatatkan 118 iaitu tidak sihat ketika gambar ini dirakam pada 2 petang Isnin. Foto Bernama

BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara menunjukkan penurunan pada pukul 7 pagi Selasa berbanding 12 tengah malam Isnin walaupun kualiti udara di sebahagian besar kawasan di Semenanjung masih dalam kategori tidak sihat.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia, Klang di Selangor yang mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat (203) pada pukul 3 petang Isnin merekodkan bacaan lebih rendah (168) iaitu dalam kategori tidak sihat pagi Selasa.

Kualiti udara di semua kawasan di Sarawak bertambah baik dengan bacaan IPU pada tahap sederhana.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan pada Isnin berkata, semua sekolah dibuka seperti biasa pada Selasa dan sebarang perubahan atau maklumat terbaharu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. - Bernama

IPU, jerebu

Artikel Sebelum

Artikel Lain