suria

Penduduk kampung persoal Jabatan Perhutanan Kedah, kawasan ladang tiba-tiba jadi hutan simpan

Setelah merujuk perkara tersebut kepada Pejabat Tanah Daerah Padang Terap, mereka telah diberitahu bahawa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah mewartakan tanah tersebut sebagai hutan simpan.

LEBIH 500 keluarga di Mukim Tekai Kiri, Kedah, tertanya-tanya bagaimana kawasan ladang yang diusahakan selama lebih 60 tahun boleh diwartakan sebagai hutan simpan.

Persoalan ini timbul apabila enam lelaki memasuki kawasan perkampungan mereka pada 27 Ogos lalu untuk meletakkan batu penanda sempadan.

Mereka mendakwa bahawa Jabatan Perhutanan Kedah telah melantik kontraktor untuk menanda sempadan di kawasan seluas 1,775 hektar yang kononnya akan diwartakan sebagai Hutan Simpan Bukit Kemunting.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Padang, Sumali Oh Ah Paa, mengesyaki sesuatu yang tidak kena kerana mereka sepatutnya memohon kebenaran daripada ketua-ketua kampung sebelum memasuki kawasan kampung.

“Kami juga berasa pelik bagaimana kawasan yang dipenuhi pohon getah, kelapa sawit dan buah-buahan boleh diwartakan sebagai hutan simpan?'' kata Sumali.

Sumali berkata, setelah merujuk perkara tersebut kepada Pejabat Tanah Daerah Padang Terap, mereka telah diberitahu bahawa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah mewartakan tanah tersebut sebagai hutan simpan.

“Mengapa selama ini kami tidak dimaklumkan? Mengapa pihak Pejabat Tanah tidak memaklumkan kepada semua MPKK bahawa Jabatan Perhutanan akan menjalankan kerja-kerja menanda sempadan?" soal Sumali.

Seorang pekerja kontrak telah memberitahu penduduk kampung bahawa mereka mendapat arahan daripada seorang pegawai pengurusan hutan untuk menjalankan tugas-tugas menanda sempadan.Tetapi jawatan timbalan pengarah perancangan dan pengurusan hutan di Jabatan Perhutanan Kedah masih kosong pada waktu ini.

Sumali dan seorang lagi penduduk bernama Chatree Ai Peng  telah membuat laporan polis di Balai Polis Naka pada 27 Ogos.

Ai Peng juga telah menghantar surat aduan kepada Menteri Besar dan Pegawai Daerah Padang Terap pada 13 Oktober tahun lalu setelah pejabat tanah memaklumkan  bahawa permohonan geran tidak dapat diproses kerana kawasan tersebut telah diwartakan sebagai hutan simpan.


Pelan kawasan berkenaan.

Sebelum ini pihak Pejabat Tanah telah meluluskan permohonan hakmilik tanah kepada 170 pemohon.

Sumali berkata pada waktu itu tidak ada batu penanda sempadan di kawasan tersebut.

“Pihak kontraktor hanya meletakkan batu penanda sempadan baru-baru ini setelah kami mempertikai ketiadaan batu sempadan di situ," katanya.

Sumali memaklumkan bahawa kawasan tersebut diduduki 50 peratus penduduk Melayu dan 50 peratus penduduk Siam.

“Di sini ramai orang miskin. Sesetengah mereka tidak ada telefon untuk dihubungi. Mereka hidup dalam keadaan daif di kawasan pedalaman.

"Kami runsing memikirkan nasib kami sekiranya kami kehilangan tanah ini yang telah menjadi sumber rezeki selama empat generasi," katanya.

Penduduk kampung telah meneroka tanah tersebut dengan kebenaran pihak berkuasa lebih 60 tahun yang lalu.

Generasi kedua peneroka E Bau A Chye, 82, berkata mereka telah mengerjakan tanah tersebut sejak sebelum merdeka lagi.

Selepas zaman Jepun, pihak berkuasa risau pihak komunis bersarang di tengah-tengah hutan yang dikelilingi kampung-kampung.

“Pihak berkuasa pada waktu itu membenarkan kami meneroka hutan untuk bercucuk tanam di waktu siang semasa zaman darurat dulu, supaya komunis tidak dapat bersembunyi di situ," kata E Bau.

Sumali telah mengutus sepucuk surat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, memohon pertolongan beliau untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka.

“Kami membantah sebarang usaha mewartakan tanah tersebut sebagai hutan simpan. Tambahan pula, bagaimana kawasan yang tidak lagi bercirikan hutan diwartakan sebagai hutan simpan.

“Kami amat bergantung harap kepada Tun Dr Mahathir untuk membela nasib kami, yang rata-rata hidup susah," kata Sumali, yang juga ketua cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Kampung Padang.

Pegawai Daerah Padang Terap, Fathullah Suhaimi, telah mengarahkan penolong pegawai daerah kanan tanah untuk menyediakan maklumat.


Artikel Lain