“Saya tak berani tenung...” - Pendaki sukarelawan tak sangka kumpulannya jumpa mayat Nora Anne - Semasa | mStar

“Saya tak berani tenung...” - Pendaki sukarelawan tak sangka kumpulannya jumpa mayat Nora Anne

Mayat Nora Anne Quoirin, 15 ketika dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk proses bedah siasat -foto BERNAMA

SEORANG pendaki sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin, 15, tidak pernah terlintas bahawa kumpulannya yang akan menemukan mayat remaja Ireland itu selepas 10 hari operasi SAR dijalankan.

Kenny Chan Kai Sian, 43, berkata sebelum penemuan mayat itu, beliau bersama kumpulannya melakukan pencarian mengikut laluan sungai dan mereka berpecah kepada dua kumpulan.

"Kami berpecah kepada dua kumpulan, satu di sebelah kiri dan satu ke kanan untuk meluaskan kawasan pencarian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kronologi kehilangan Nora Anne

ARTIKEL BERKAITAN: Bersemadi dengan tenang Nora... #NoraQuoirin trending di Twitter, netizen dalam dan luar negara luah rasa simpati

ARTIKEL BERKAITAN: Dunia gempar kematian tragik Nora Anne, jadi tajuk berita utama media antarabangsa

"Kumpulan saya yang mengikut laluan kiri tiba-tiba ternampak sekujur tubuh kira-kira 20 meter di hadapan kami, seorang ahli kumpulan yang nampak mayat itu berteriak kepada kami agar tidak menghampiri mayat itu kerana khuatir akan mengganggu elemen bukti yang diperlukan polis," katanya ketika dihubungi, di Seremban.

Kumpulan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kenny Chan (tengah) bersama rakan lain membantu dalam misi pencarian Nora Anne. -foto Bernama

Chan berkata ketika kumpulannya menemukan mayat itu, dia hanya bersangka baik dan tidak terlintas di fikirannya mayat berkenaan adalah Nora Anne.

Menceritakan fizikal mayat itu, Chan berkata beliau hanya melihatnya sekali imbas dan nampak mayat dalam keadaan terlentang dan sedikit mengiring.

"Saya tidak berani tenung mayat itu dan hanya melihat dari jauh. Tanpa berfikir panjang, saya terus menghubungi polis," katanya.

Bagaimanapun, Chan berkata pihaknya tidak pasti jika sebelum itu terdapat pihak lain yang menemukan mayat itu.

Kumpulan pendaki itu menyertai anggota SAR sejak Ahad lepas.

Pada Selasa, mayat Nora Anne ditemukan pada pukul 1.57 tengah hari setelah 10 hari dia keluar dari resort penginapannya di Pantai, Seremban pada 4 Ogos.

Nora Anne, disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada 8 pagi.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba di Malaysia bersama keluarga pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini. -Bernama

Nora Anne , pendaki , sukarelawan , mayat