Pemuda terkejut jumpa cerek penuh duit di tapak pelupusan sampah - Semasa | mStar

Pemuda terkejut jumpa cerek penuh duit di tapak pelupusan sampah

Sebuah cerek yang dipenuh wang kertas matawang dolar Kanada ditemui di tapak pelupusan sampah.

TUAH seorang pemuda yang mencari barang-barang untuk dikitar semula di tempat pelupusan sampah di George Town, Pulau Pinang, apabila menjumpai sebuah cerek yang dipenuhi dengan wang dolar Kanada.

Bagaimanapun, Mohamad Fahmi Abdul Aziz, 28, merasakan dia tidak sepatutnya mengambil wang tersebut dan mahu memulangkan sejumlah wang kertas C$100 kepada invidu yang kehilangannya.

Enggan mendedahkan jumlah wang yang ditemui itu, Fahmi berkata, jumlahnya adalah besar dalam 'puluhan ribu'

"Sudah menjadi rutin saya untuk mengumpul barang-barang boleh dikitar semula di tapak pelupusan sampah bersama dua pekerja saya.

"Saya jumpa objek logam berkilat yang tertimbus separuh di dalam tanah, pada pagi Selasa.

"Saya keluarkannya dan tak percaya melihat dengan mata sendiri bila tengok cerek tu dipenuhi dengan wang tunai matawang itu.

"Saya bawa balik rumah dan periksanya, saya dapati ia adalah matawang dolar Kanada. Saya terkejut," tambahnya.

Fahmi berkata, dia kemudian menunjukkan beberapa wang kertas berkenaan kepada pengurup wang dan dia mengesahkan wang kertas tersebut adalah dolar Kanada yang tulen.

"Selepas berbincang dengan isteri dan ahli keluarga, kami memutuskan bahawa ia sepatutnya dipulangkan kepada individu yang kehilangannya.

"Ia mungkin simpanan seseorang dan sudah tentu terbuang secara tidak sengaja.

"Saya tidak mahu mendedahkan jumlahnya kerana saya mahu pemilik itu mendedahkan berapa banyak wang di dalam cerek itu sebagai bukti.

"Saya tidak mahu membuat laporan polis kerana jika saya serahkan wang tersebut, saya tak tahu apa akan jadi dengan wang tersebut.

"Saya akan mendapatkan nasihat daripada guru agama saya, dan jika tak jumpa pemiliknya, saya mungkin sumbangkannya kepada kebajikan," katanya kepada The Star.

Ditanya mengapa dia tidak mahu menyimpan wang tersebut untuk dirinya sendiri, Fahmi kekal dengan pendiriannya bahawa dia tidak wajar berbuat demikian.

Pegawai Suruhanjaya Tinggi Kanada di Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata, tiada warga Kanada yang melaporkan kehilangan sejumlah besar wang. - The Star

Artikel Lain