suria

Air Selangor galakkan warga kerja kekal aktif, cergas dan sihat

Warga kerja Air Selangor bersorak selepas selesai sesi Zumba mereka di majlis pelancaran program sihat dan cergas.

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), dengan kerjasama sebuah syarikat insurans terkemuka di dunia, memperkenalkan sebuah program kesihatan dalam usaha menggalakkan warga kerjanya menjalani gaya hidup lebih sihat.

Program kesihatan berkebajikan itu dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman, dalam satu acara bertemakan kecergasan yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program tersebut bertujuan membantu warga kerja menjalani kehidupan yang lebih sihat, dan pada masa yang sama, memberi ganjaran kepada warga kerja di atas usaha mereka untuk kekal sihat.

Program itu bukan sahaja mendedahkan warga kerja kepada ilmu dan asas kesihatan, malah ia turut memberi mereka motivasi bagi mencapai matlamat kesihatan diri mereka. 

Program tersebut mempunyai tiga segmen utama iaitu mempelajari aspek-aspek kesihatan, mengetahui lebih lanjut berkenaan cara-cara meningkatkan tahap kesihatan serta berpeluang untuk menikmati ganjaran yang ditawarkan melalui aktiviti-aktiviti berunsurkan kesihatan dan kecergasan.

Air Selangor berharap dengan program kesedaran kesihatan yang tersusun ini, ia bukan hanya dapat mempromosi dan menanam kepentingan gaya hidup sihat di kalangan warga kerja, malah juga membantu meningkatkan kerjasama berpasukan, mengurangkan kos perubatan jangka panjang serta memberi ganjaran kepada warga kerja melalui program-program kesihatan yang mereka lalui.

Seramai 400 warga kerja mengambil bahagian dalam pelancaran program berkenaan.

Suhaimi melancarkan program sihat dan cergas.

Banyak aktiviti berunsurkan kesihatan dan kecergasan dirancang bagi tujuan menyampaikan mesej tentang pentingnya gaya hidup sihat kepada lebih 4,500 warga kerja Air Selangor.

Dalam majlis tersebut, Suhaimi turut menyampaikan 224 unit jam tangan FitBit kepada warga kerja Air Selangor yang tidak pernah mengambil cuti sakit sepanjang 2018 sebagai tanda penghargaan.

Warga kerja yang menyertai program kesihatan dan kecergasan itu juga diberikan taklimat mengenai faedah-faedah serta ganjaran-ganjaran yang bakal diperolehi melalui penglibatan warga kerja di dalam menjayakan program tersebut.

Antara ganjaran yang boleh dinikmati adalah tawaran diskaun untuk keahlian gim, diskaun bagi peralatan kecergasan boleh pakai, diskaun untuk pakaian senaman, diskaun pembelian bagi pemakanan sihat, diskaun penyaringan kesihatan serta penilaian kecergasan, diskaun hotel, diskaun tiket penerbangan, tiket wayang dan lain-lain.

Di samping itu, mereka yang terlibat dalam program itu boleh juga menikmati potongan diskaun sebanyak 15 peratus hingga 50 peratus yang turut ditawarkan oleh rakan-rakan kongsi seperti AirAsia, Berjaya Hotels and Resorts, BP Healthcare, Fitbit, Fitness First, Garmin, Guardian, Marriott, Medklinn, Reebok dan Majalah Men’s Health serta Women’s Health.

Program tersebut juga disepadukan dengan pelbagai aplikasi mudah alih dan alat kecergasan boleh pakai, sekali gus memudahkan para ahli untuk memantau serta merekodkan aktiviti mereka bagi tujuan untuk mendapatkan mata ganjaran.

Mereka yang hadir pada pelancaran tersebut turut mengambil bahagian dalam sesi Zumba yang diketuai oleh jurulatih profesional daripada salah sebuah pusat kecergasan yang terkemuka di negara ini. 

Artikel Lain