suria

Sejak 2010... Siapa lelaki Singapura sering masuk Malaysia hanya untuk pergi ke makam-makam lama?

Keluarga dari Singapura ini berdoa di Makam Tun Teja di Melaka ketika melakukan kerja amal membersihkan makam-makan lama.

DEMI semangat patriotik yang tinggi, seorang pemandu kurier warga Singapura sanggup menjelajah ke Malaysia semata-mata untuk membersihkan makam lama milik pembesar atau pahlawan Melayu zaman silam secara sukarela.

Tanpa dibiayai mana-mana pihak, Omar Jamail, 55, mengeluarkan belanja sendiri untuk melakukan kerja-kerja pembersihan makam para kenamaan zaman silam seperti sultan atau raja, pembesar, panglima istana serta serikandi Melayu yang tercatat dalam hikayat atau buku sejarah.

Antara makam bersejarah yang sering dikunjungi Omar bersama isteri iaitu Jamaliah Majid, 55, dan tiga anaknya ialah makam Tun Teja di Kampung Pengkalan Samak, Merlimau, Melaka.


Kerja-kerja amal dilakukan keluarga dari Singapura ini untuk memastikan makam-makam lama yang mempunyai sejarahnya terus terpelihara.

Dengan  membawa peralatan seperti penyapu dan penyodok, Omar lazimnya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk melakukan gotong-royong bersama keluarga membersih persekitaran makam lama.

"Di mana sahaja ada makam lama, saya akan sampai di sana. Kalau bukan orang Melayu sendiri yang menjaga dan memelihara makam-makam lama  ini, siapa lagi? Walaupun kita tidak pernah bertemu mereka dan hanya mengenali mereka menerusi buku sejarah tetapi jasa mereka untuk menegakkan agama, bangsa dan tanah air perlu dihargai oleh anak cucu seperti kita," katanya kepada mStar.

Dia ditemui ketika sedang bergotong-royong bersama keluarganya membersihkan kawasan persekitaran makam Tun Teja baru-baru ini.

Makam Tun Teja, Makam Hang Tuah, Makam Sultan Hussein dan Makam Sultan Ali di Melaka antara lokasi yang sering diziarahi, dibersih dan dipelihara oleh Omar setiap bulan.

Omar Ismail

Datuk kepada empat cucu yang melakukan kerja tanggungjawab sosial itu sejak 2010 telah menjelajah hingga ke Langkawi untuk membersihkan makam legenda Mahsuri selain perigi peninggalan Laksamana Hang Tuah yang dipercayai berada di Grisek, Thailand.

Kekerapannya di makam-makam lama terbabit menyebabkan ada penduduk tempatan menyangka dia mempunyai darah pertalian dengan pembesar silam berkenaan.

Ditanya sama ada pernah mengalami peristiwa aneh ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di makam-makam lama itu, setakat ini, dia tidak pernah mengalami sebarang gangguan walaupun dikatakan ada makam yang dikaitkan dengan unsur mistik.

"Ada juga yang saya dengar makam-makam lama ini dikatakan mempunyai penunggu tetapi jika datang dengan niat yang baik selain menghadiahkan ayat-ayat al-Quran, InsyaAllah gangguan itu dapat dielakkkan," jelasnya.

Sementara itu, seorang bekas penjaga Makam Tun Teja, Mohd, Yusop Abd Majid, 70, dari Kampung Pengkalan Samak turut kagum dengan usaha murni yang dilakukan oleh Omar yang sering berkunjung untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di makam itu.

Mohd Yusop Abd Majid mnunjukkan satu lagi makam menyerupai makam Tun Teja di Kampung Pengkalan Samak, Merlimau, Melaka.

Setakat ini, ujarnya, tiada lagi individu tertentu termasuk dalam kalangan penduduk tempatan yang melakukan kerja-kerja amal seumpama itu di makam tersebut.

Ada pun, jelasnya, hanya organisasi tertentu yang melakukan kerja-kerja gotong royong di makam Permaisuri Sultan Melaka berkenaan.

"Itu pun ia bukan dilakukan pada setiap bulan sebagaimana diusahakan oleh Omar yang sanggup datang dari negara jiran semata-mata untuk memastikan kebersihan di Makam Tun Teja," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusop yang ditugaskan Perbadanan Musium Melaka (Perzim) untuk menjaga Makam Tun Teja dari 2000 hingga 2014, meminta pihak tertentu mengkaji satu lagi makam yang batu nisannya menyerupai batu nisan Tun Teja.

Ilustrasi wajah dipercayai Tun Teja.

Makam lama itu ujarnya, yang terletak kira-kira 200 meter dari Makam Tun Teja, berada di tengah-tengah kawasan sawah dan terbiar.

"Ada pihak mengatakan makam terbiar itu adalah makam Tun Teja sebenar berdasarkan batu nisannya yang hanya ditemukan di makam-makam pembesar Melayu tertentu namum Perzim telah mewartakan makam sedia ada ketika ini adalah Makam Tun Teja," jelasnya.

Tun Teja adalah permaisuri Sultan Mahmud yang melarikan diri dari buruan penjajah Portugis yang menyerang Melaka pada 1511.

Baginda dikatakan mangkat ketika dalam perjalanan ke Muar, Johor sebelum disemadikan di Kampung Pengkalan Samak.

Tun Teja, makam, Singapura

Artikel Lain