suria

Dua lelaki maut dilanggar komuter

Kejadian berlaku pada petang Ahadberhampiran laluan Sungai Buloh-Kepong.

DUA lelaki dipercayai warga asing maut dipercayai dilanggar tren komuter berhampiran laluan Sungai Buloh-Kepong, petang Ahad.

Dalam kejadian 6.03 petang itu, kedua-dua mangsa dipercayai warganegara Myanmar berusia lingkungan 30-an itu difahamkan menceroboh laluan komuter di Km 371.7 sebagai jalan pintas untuk ke kawasan berhampiran.

Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini, komuter yang dalam perjalanan ke Stesen Kepong dari Stesen Sungai Buloh itu membawa 30 orang penumpang ketika kejadian.

Kenyataan itu menyebut pemandu komuter telah memberhentikan tren sejurus menyedari kelibat mangsa yang terpelanting di kedua-dua bahu landasan.

Susulan itu, pihak polis telah dimaklumkan mengenai kejadian dan tiba di lokasi kejadian sebaik menerima laporan tersebut.

Kedua-dua mayat telah dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat.
Pihak KTMB juga telah menyediakan komuter gantian bagi membolehkan semua penumpang menyambung perjalanan mereka.- BERNAMA

ktm, warga asing

Artikel Lain