suria

Bayi mati tersedak susu, wanita direman sehari

Seorang wanita direman satu hari mulai Khamis bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan dipercayai akibat tersedak susu ketika berada di bawah jagaannya mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan. - FotoBERNAMA

SEORANG wanita direman satu hari mulai Khamis bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan dipercayai akibat tersedak susu ketika berada di bawah jagaannya mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Nur Hidayah Abdul Manaf bermula Khamis dan berakhir 11.59 malam ini.

Wanita berusia 39 tahun yang juga merupakan pengasuh kepada mangsa, Haraz Mohd Hafez, itu tiba di Bilik Reman Kompleks Mahkamah Majistret dan Sesyen di Johor Bahru, kira-kira 11 pagi diiringi peguam bela Mohd Salleh Tugimin.

Pada Rabu, media melaporkan seorang bayi meninggal dunia dipercayai tersedak susu ketika berada di rumah pengasuhnya di Jalan Merdeka dekat Kampung Melayu Majidee, Joho Bahru petang Selasa.

Bapa mangsa, Muhd Hafez Mohamed menerima panggilan daripada pengasuh kira-kira pukul 2 petang mendakwa anaknya itu tidak sedarkan diri sebelum bergegas ke rumah pengasuh anaknya itu.

Bayi itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘aspiration Pneumonia’ iaitu disebabkan susu masuk ke bahagian paru-paru mangsa sekali gus membawa kepada kekurangan oksigen. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain