suria

Anak menteri positif dadah didakwa dalam masa terdekat - Muhyiddin

ANAK menteri yang ditahan selepas disahkan positif dadah, akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Muhyiddin, polis sudah menyerahkan kertas siasatan kes itu kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Arahan telah diterima untuk menuduh suspek di mahkamah. Tindakan untuk menuduh akan diambil dalam tempoh yang terdekat ini," kata Muhyiddin dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 14 April bagi soalan yang dikemukakan Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong).

Shamsul meminta penjelasan prosedur operasi standard (SOP) siasatan terhadap individu yang disyaki positif dadah dan berapa lama masa diambil untuk mendapatkan pengesahan ujian patologi.

Muhyiddin dalam jawapannya menjelaskan bahawa polis mempunyai SOP Arahan Pentadbiran yang khusus dalam pengendalian pengambilan sampel air kencing terhadap individu yang disyaki positif dadah.

Arahan berkenaan termasuklah yang terkandung dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN), Bahagian F103 (Tatacara Pengambilan Air Kencing dan Penguatkuasaannya di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 (Akta 284).

"Bagi kes anak menteri yang disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, laporan patologi telah diterima oleh PDRM," katanya.

Dalam jawapan bertulis itu, Muhyiddin bagaimanapun tidak menyebutkan nama menteri yang dimaksudkan.

Terdahulu media melaporkan anak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ditahan polis selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan pada 5 Januari lalu.

Ahmad Saiful Islam, 31, ditahan bersama-sama seorang lagi rakannya berusia 33 tahun merupakan antara 101 individu iaitu 55 wanita dan 46 lelaki yang diperiksa dalam Op Pusat Hiburan, malam tersebut.

Mat Sabu, dadah, Ahmad Saiful Islam

Artikel Lain