suria

Dua peserta dapat tiket percuma ke mana-mana destinasi selepas tanya soalan dalam Bahasa Kebangsaan

Tony Fernandes bergambar bersama buku autobiografi beliau bertajuk 'Terbang Tinggi' pada PBAKL 2019 di PWTC, Sabtu. - Bernama

DENGAN hanya bertanyakan soalan kepada Tan Sri Tony Fernandes menggunakan Bahasa Kebangsaan, dua pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 pulang dengan tiket penerbangan percuma.

Ia selepas Ketua Eksekutif Kumpulan Air Asia itu mencabar pengunjung untuk bertanyakan soalan kepadanya dalam Bahasa Melayu dan sekiranya beliau faham, mereka boleh memilih mana-mana destinasi pilihan di seluruh dunia untuk diterbangkan.

Menyahut cabaran ialah pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muhammad Ameruddin Mohd Roslin, 23, bertanyakan soalan rahsia disebalik kejayaan Tony sehingga berjaya membawa syarikat penerbangan tambang murah itu berada di tahap membanggakan.

“Kami memilih mengurangkan tambang pesawat bagi membolehkan lebih ramai orang terbang dan dengan 21,000 kakitangan pasukan yang baik kami dapat sampai  ke tahap sekarang.

“Tambahan pula, kita perlu sentiasa merendah diri dan jangan memberi tekanan kepada orang lain,” katanya ketika pelancaran buku Flying High dalam versi Bahasa Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Sabtu.

Seorang lagi pengunjung Fatin Anati Abd Halim, 29, bertanyakan peluang pekerjaan di Air Asia memandangkan beliau mengagumi suasana bekerja di syarikat itu.

Tony kemudian menawarkan pegawai bank itu untuk menjadi pembantu peribadinya (PA) selama seminggu.

Kedua-dua pengunjung bertuah itu memilih Korea sebagai destinasi pilihan dan dibenarkan untuk membawa seorang lagi pasangan.

Muhammad Ameruddin yang berhasrat membawa ibunya Maznah Ahmad, 51, ke Seoul bersyukur dengan hadiah tiket penerbangan percuma yang diterima daripada idolanya sendiri.

“Saya sangat kagum dengan sifat pemurah beliau. Sebab itu beliau boleh berada di tahap ini,” katanya.

Fatin Anati yang merancang untuk ke Jeju bersama rakan karibnya Noor Afifah Mohammad, 29, menyatakan keterujaan untuk menimba pengalaman kerja di bawah Tony. - Bernama

AirAsia, Tony Fernandez, PBAKL

Artikel Lain