Remaja lembam disyaki hilang dalam hutan selepas merajuk disuruh bersiap ke kelas mengaji - Semasa | mStar

Remaja lembam disyaki hilang dalam hutan selepas merajuk disuruh bersiap ke kelas mengaji

Gambar hiasan

SEORANG remaja lembam dilaporkan hilang sejak Selasa lepas, selepas didakwa masuk ke dalam kawasan hutan berhampiran rumahnya di Kampung Lengkong di Karak, Bentong dekat Kuantan kerana merajuk.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Yusuf Unis berkata Muhammad Haikal Ahmad, 17, dilaporkan kali terakhir dilihat pada 5 petang Selasa lalu, oleh ayahnya Ahmad Ali, 50, yang memintanya bersiap untuk ke kelas mengaji.

"Ayah remaja itu mendakwa anaknya sedikit memberontak dan keluar dari rumah, namun tidak mengesyaki apa-apa sehingga dimaklumkan penduduk kampung melihat anaknya masuk ke ladang kelapa sawit berhampiran hutan itu.

"Usaha mencari telah dilakukan ayah remaja itu dengan pertolongan penduduk kampung namun masih tidak berjaya menjumpai anaknya menyebabkan dia membuat laporan polis pada Rabu lalu," katanya dalam satu kenyataan di Kuantan, Jumaat.

Yusuf berkata ini merupakan kali kedua Muhammad Haikal, yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) bagi masalah pembelajaran dilaporkan hilang.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu di hutan telah dijalankan sejak Rabu lepas oleh anggota Balai Polis Karak dengan menggunakan khidmat anjing pengesan serta turut mendapat bantuan orang kampung. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain