‘Majikan dari neraka’... tiga amah larikan diri dakwa didera - Semasa | mStar

‘Majikan dari neraka’... tiga amah larikan diri dakwa didera

Gambar sekadar hiasan.

TIGA pembantu rumah warga Indonesia melarikan diri selepas mendakwa didera majikan mereka bergelar Tan Sri.

Tiga pekerja tersebut dipercayai melarikan diri dari sebuah banglo di Country Heights di Kajang, dengan bantuan seorang lelaki yang membawa mereka ke Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan.

"Pegawai kedutaan membuat laporan pada 22 Mac lalu berhubung penderaan itu," kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dalam satu kenyataan pada Jumaat.

"Ketiga-tiga mangsa, berusia antara 25 dan 41 tahun, berkhidmat dengan majikan berkenaan masing-masing selama tujuh dan empat tahun, serta enam bulan.

"Siasatan awal menunjukkan mereka melarikan diri selepas tidak tahan dengan layanan kasar oleh majikan dan isterinya, Puan Sri.

"Kesemua mereka mendakwa ditumbuk dan ditampar, serta tidak diberikan gaji dan pasport mereka diambil," katanya.

Menurut Ahmad Dzaffir, ketiga-tiga mangsa melarikan diri dengan memanjat pagar rumah majikan mereka, sebelum dibantu oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dengan membawa mereka ke Kedutaan Indonesia.

Beliau menambah, siasatan di lokasi kejadian membawa kepada rampasan dua pasport dan i-Kad milik mangsa yang disimpan oleh setiausaha suspek.

"Pemeriksaan perubatan terhadap mangsa mendapati tiada tanda kecederaan fizikal. 

"Pemeriksaan sama turut menunjukkan tiada tanda penderaan seksual atau mental terhadap mangsa," katanya.

Ahmad Dzaffir menambah bahawa kesemua mangsa dihantar ke rumah perlindungan selepas perintah perlindungan sementara dibenarkan oleh Mahkamah Majistret. - The Star


amah , pembantu rumah , dera , Tan Sri

Artikel Lain