suria

Peserta Gopeng Ultra Trail hilang ketika larian

Usaha mencari Mohammad Ashraf sedang dipergiatkan.

SEORANG peserta lelaki Gopeng Ultra Trail dilaporkan hilang ketika menyertai larian berkenaan di kawasan Gua Tempurung, Kampar, dekat Ipoh pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata peserta yang hilang itu dikenali sebagai Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang beralamat terakhir di Muar, Johor.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pagi semalam dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama.

“Pengadu iaitu kawan mangsa dikenali Mohd Farid Md Kamal, 32, berkata selepas selesai perlumbaan pada pukul 2 petang Sabtu mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai.

“Selepas panggilan telefon tidak dijawab, pengadu memaklumkan perkara ini kepada penganjur dan tindakan mencari telah dijalankan di kawasan laluan peserta tetapi tidak ditemui,” katanya ketika dihubungi di Ipoh pada Ahad.

Katanya, pengadu telah datang membuat laporan polis ke Balai Polis Gopeng kira-kira pukul 1.09 pagi Ahad selepas rakannya itu masih belum ditemui.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dilakukan sejak pagi Ahad yang disertai seramai 11 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. - BERNAMA

 

Gopeng Ultra Trail

Artikel Sebelum

Artikel Lain