Enam negeri diramal kurang sumber air - Dr Xavier - Semasa | mStar

Enam negeri diramal kurang sumber air - Dr Xavier

Gambar sekadar hiasan.

MALAYSIA mula merasai kesan peningkatan cuaca panas yang mewujudkan fenomena cuaca ekstrem sejak Januari lalu sehingga kini.

Menteri Air, Tanah Dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, perkara itu menjadi faktor berlaku musim kemarau yang akan memberi kesan kepada sumber air dan aktiviti-aktiviti lain berkaitan air seperti bekalan air dan pertanian.

“Diramalkan, beberapa negeri yang akan menerima hujan kurang daripada bacaan 25 peratus purata hujan tahunan pada April dan Mei 2019 iaitu Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pahang dan Kelantan.

“Keadaan ini akan menyebabkan keadaan panas dan kering serta mengurangkan sumber air sungai dan empangan di negeri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada petang Sabtu.

Dr Xavier berkata, lokasi yang tidak menerima hujan melebihi 30 hari adalah Setiu, Terengganu selama 31 hari (tahap waspada) dan Hulu Perak, Perak selama 56 hari (tahap amaran).

Tambah beliau, beberapa lokasi yang menerima hujan kumulatif Januari hingga Mac tahun ini di bawah bacaan 25 peratus purata hujan tahunan (tahap amaran) adalah Rembau dan Tampin di Negeri Sembilan; Rompin, Pahang dan Hulu Perak.

“Bagi yang menerima hujan kumulatif Januari hingga Mac 2019 di bawah rekod hujan pada El Nino 2015-2016 dan musim panas dan kering (tahap bahaya) adalah Padang Terap, Kedah; Cameron Highland dan Kuantan, Pahang serta empat daerah di Terengganu iaitu Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Dr Xavier Jayakumar. Foto Bernama

Dr Xavier berkata, terdapat tiga empangan yang mempunyai simpanan kapasiti airnya berada dalam lingkungan 50 peratus.

Jelasnya, empangan tersebut adalah Empangan Muda, Kedah mempunyai kapasiti air 58.97 peratus; Empangan Machap, Johor 55.61 peratus, Empangan Sembrong, Johor 54.07 peratus dan Empangan Bukit Kwong, Kelantan 37.28 peratus. 

“Kemampuan untuk menyalurkan air kepada pengguna baik dari segi keperluan harian, industri dan pertanian khususnya untuk penanam padi perlu dikawal dengan kaedah penggiliran atau penjadualan semula tanaman padi,” katanya.

Sementara itu, Dr Xavier berkata, dijangkakan beberapa sumber air memerlukan tambahan bekalan air daripada Empangan Beris, Empangan Muda, Empangan Pedu, Empangan Ahning dan Empangan Jus, berikutan aktiviti penanaman padi sedang giat berjalan di kawasan sekitar sehingga April. 

Justeru, beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencadangkan kepada pihak berkuasa negeri untuk mengambil tindakan dengan membuat pelepasan air daripada empangan terlibat secara terkawal. 

“Pada masa sama, JPS akan membuat pemantauan dari masa ke semasa dan pelaporan status kemarau dan ramalan pada setiap mingguk kepada pengurus air negeri,” ujarnya.

Dr Xavier Jayakumar , air

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Derita si janda muda