Pasangan OKU penglihatan jual sarung bantal, enggan susahkan orang lain - Semasa | mStar

Pasangan OKU penglihatan jual sarung bantal, enggan susahkan orang lain

Mona dan suaminya Abd Hamid berulang-alik setiap hari dari Bukit Mertajam ke Kulim untuk menjual sarung bantal. - Foto Bernama

SEPASANG suami isteri orang kelainan upaya (OKU) penglihatan memilih untuk berdikari dengan berniaga sarung bantal secara kecil-kecilan di Pasar Awam Kulim di sini.

Dengan kemampuan yang terbatas, pasangan Mona Ahmad, 41, dan Abd Hamid Mat Piah, 58, terpaksa berulang-alik setiap hari dari rumah mereka di Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke pasar awam di Kulim demi mencari sesuap nasi.

"Ini rutin kami setiap hari sejak setahun lalu. Pada mulanya memang banyak cabaran (yang) perlu kami lalui termasuk untuk mengenal pasti jenis sarung bantal yang dijual supaya tidak timbul masalah semasa jual-beli.

“Kami sekarang sudah terbiasa, tidak pernah kesal dan berasa payah untuk berniaga di tempat terbuka serta bersaing dengan peniaga lain yang lebih bernasib baik kerana mempunyai semua pancaindera," kata pasangan itu yang ditemui Bernama di Kulim.

Menurut Mona, berniaga sarung bantal bukan satu perniagaan yang lumayan, namun kerana berpegang kepada prinsip tidak mahu menyusahkan orang lain, rutin itu tetap diteruskan oleh mereka setiap hari.

Foto Bernama

"Pendapatan kami berdua menjual sarung bantal di sini tidaklah sebanyak mana, kadang-kadang hanya dapat RM40 atau RM50 sehari, dan ada ketika hanya mendapat RM15 hingga RM20 sahaja sehari," katanya.

Sarung bantal mereka dijual pada harga antara RM5 dan RM8 sehelai mengikut saiz dan jenis kain.

Lebih menyulitkan apabila mereka terpaksa pula berbelaja kira-kira RM40 sehari untuk kos pengangkutan pergi dan pulang.

Mereka yang telah menganggap pekerjaan itu sebagai satu ibadah juga tidak mahu bergantung kepada perniagaan sarung bantal semata-mata.

Mona juga melakukan pekerjaan sambilan mengambil upah mengurut berdasarkan tempahan.

Ditanya apa yang menjadi pendorong semangat mereka untuk gigih berniaga, Mona berkata mereka sering menjadikan al-Quran sebagai penguat rohani dan jasmani.

Sementara itu, Mona turut meluahkan rasa kesal kepada sesetengah dolongan muda kini yang lebih suka menganggur daripada bekerja atau berniaga, walaupun tidak ada apa-apa kekurangan pada diri mereka. - Bernama

OKU , sarung bantal

Artikel Lain

'Messi Jepun' sertai Real Madrid