suria

Bengang diejek, dua pelajar sekolah di Tawau belasah tiga rakan

Gambar hiasan

TIGA pelajar Tingkatan Lima di Tawau dibelasah oleh dua rakan sekolah mereka pada 1 Mac.

Difahamkan, sebelum kejadian yang berlaku pada pukul 6 petang itu, salah seorang daripada tiga mangsa telah mengejek seorang lagi pelajar berusia 17 tahun.

Pelajar tersebut berasa marah dan terhina, lalu memberitahu rakannya yang berusia 16 tahun mengenai perkara itu.

Kedua-dua mereka kemudian mengikuti pelajar itu dan kawan-kawannya sebelum bertindak membelasah mangsa.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, insiden itu berlaku di luar kawasan sekolah dan seorang pelajar lain merakam video pergaduhan tersebut menggunakan telefonnya.

"Pengetua sekolah melihat video itu selepas ia tersebar di media sosial dan memanggil pelajar yang terlibat ke pejabatnya," kata beliau.

Ketiga-tiga pelajar yang diserang dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

"Mereka menerima rawatan pesakit luar kerana mengalami luka kecil dan lebam," kata ACP Fadil, sambil menambah ibu bapa murid telah dimaklumkan dan diminta untuk bertemu dengan pengetua sekolah berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya memaklumkan kepada polis tentang insiden itu kira-kira pukul 3.30 petang pada 4 Mac.

ACP Fadil berkata, pada masa ini kes itu akan ditangani oleh pihak pengurusan sekolah. - The Star

pelajar sekolah, belasah, buli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain