suria

Calon SPM ketahui keputusan peperiksaan 14 Mac

SERAMAI 421,706 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 akan mendapat keputusan peperiksaan mereka pada 14 Mac ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata daripada jumlah itu seramai 362,754 merupakan calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan; sekolah di bawah agensi kerajaan (9,427); sekolah menengah agama negeri (8,160); sekolah menengah agama rakyat (2,059); sekolah swasta (14,001); dan calon persendirian (25,305).

Menurut KPM, calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas 10 pagi, manakala calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri.

KPM berkata calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2018 melalui mySMS 15888.

Katanya perkhidmatan itu akan diaktifkan bermula 10 pagi pada 14 Mac dan akan ditamatkan pada 6 petang 20 Mac.

Keputusan juga boleh disemak melalui laman sesawang Lembaga Peperiksaan di sppat.moe.gov.my/semakan.

Bagi calon SPM 2018 yang ingin mengambil SPM Ulangan 2019 atau peperiksaan sebagai calon persendirian pada tahun ini, KPM berkata pendaftaran dibuka bermula pada 14 Mac hingga 31 Mac ini.

Katanya pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari laman sesawang Lembaga Peperiksaan, manakala urusan pengesahan pendaftaran dan pembayaran dibuat melalui Jabatan Pendidikan negeri tempat mereka ingin menduduki peperiksaan.-- Bernama 


SPM, Kementerian Pendidikan

Artikel Sebelum

Artikel Lain