suria

Tidak perlu rangka SOP baharu untuk lawatan polis ke luar negara - Muhyiddin

MENTERI Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata tiada keperluan untuk merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi lawatan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke luar negara.

Katanya prosedur sedia ada adalah memadai kerana ia memerlukan agensi kerajaan atau pegawai kerajaan yang ingin keluar negara mendapatkan kelulusan daripada kementerian melalui ketua setiausaha kementerian atau menteri sendiri.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa lawatan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersama beberapa pegawai tinggi PDRM ke Turki tidak mempunyai kesalahan.

"Ia (surat oleh IGP) dikemukakan atas asas bahawa lawatan itu ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia. 

"Bagi saya tidak ada konflik atau ada apa-apa kepentingan atau keputusan yang saya buat itu tidak tepat, kerana saya tidak tahu sumber mana lembaga itu mendapat kewangan. 

Mohamad Fuzi.

"Fakta yang ada lembaga ini bukan kali pertama buat begitu (menaja lawatan)," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang. 

Kementerian Dalam Negeri dilaporkan telah meluluskan lawatan kerja Mohamad Fuzi dan beberapa pegawai tinggi PDRM ke Turki sebagai satu daripada usaha untuk menangani masalah perjudian dalam talian.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng kemudian berkata lawatan itu tidak ditanggung oleh kementeriannya tetapi oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia, yang merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan, yang mana syarikat itu mendapat sumber kewangan daripada syarikat nombor ramalan (Da ma cai).

Muhyiddin berkata beliau sedar rakyat mahu kementeriannya membuat keputusan yang tepat dalam setiap perkara membabitkan kepentingan negara.

Guan Eng.

"Saya tidak lihat ada salah dalam soal ini, dan kalau ada pihak kata tidak betul, boleh adu pada mana-mana pihak dan saya sedia menjawab," tambahnya.

Mengenai sama ada wujud keperluan untuk melindungi pihak yang membuat dakwaan terdapatnya salah laku hakim-hakim kanan, Muhyiddin berkata pihaknya akan melihat terlebih dahulu sama ada perlunya langkah tersebut.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dalam afidavitnya setebal 63 muka surat pada Khamis, sebagai sokongan kepada permohonan oleh peguam Sangeet Kaur Deo, mendedahkan, antara lain, butiran yang mengejutkan mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia.

Sangeet telah memfailkan saman pemula berhubung dakwaan campur tangan badan kehakiman termasuk dalam keputusan kes Akta Hasutan bapanya, mendiang Karpal Singh. - Bernama

SOP, PDRM

Artikel Lain