suria

Petik sape tanpa henti selama 50 jam, 54 pemuzik bakal cipta sejarah

Master Sape akan diberi penghormatan untuk memulakan persembahan yang bakal mencipta rekod itu.

BUAT pertama kalinya alunan muzik Sape,sebuah alat muzik tradisional komuniti Orang Ulu di Sarawak akan dipersembahkan tanpa henti selama 50 jam atau tiga hari berturut-turut mulai hari ini hingga Ahad.

Persembahan muzik Sape terpanjang, acara yang pertama seumpamanya di negara ini, melibatkan 54 pemain Sape terbaik di Sarawak yang akan mendendangkan 59 melodi tradisional Sape untuk cuba dimasukkan dalam Malaysia Book of Record (MBR).

Antara yang menyertai acara anjuran bersama RTM Sarawak dan Sarawak Energy Berhad (SEB) ini ialah seorang lelaki OKU, seorang pemain sape berusia 74 tahun dan dua remaja, seorang lelaki dan perempuan, berusia 14 tahun.

Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy Berhad (SEB), Aisah Eden yang merasmikan pelancaran persembahan hari ini berkata, program ini dianjurkan untuk memperkenalkan muzik Sape di persada dunia serta memupuk lebih ramai generasi muda mewarisi bakat bermain Sape dari generasi sekarang.

Katanya bagi memenuhi tuntutan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), SEB turut terlibat sama membentuk generasi pelapis pemain Sape di bawah projek Warisan Sape Telang Usan dengan kerjasama SMK Temenggong Lai.

Sementara itu Pengarah Penyiaran Sarawak Zainal Abidin Asri Abdul Wahid yang turut berucap di majlis hari ini berkata penganjuran acara ini membuktikan selain sukan, muzik tradisional mampu menyatupadukan pelbagai bangsa di Sarawak.

Persembahan alat muzik Sape yang berbentuk seperti kapal jong serta mempunyai tiga atau empat tali sebelum ini, sebelum ini hanya terhad di majlis-majlis perkahwinan, pesta dan majlis kebudayaan, namun kini ia cukup sinonim dengan persembahan di majlis festival muzik rainforest.

Alat muzik  itu pernah dimainkan oleh kumpulan Sada Borneo dalam persembahan akhir musim pertama Asia's Got Talent.

Dalam tempoh tiga hari mulai hari ini hingga Ahad seramai 54 pemain Sape melibatkan 51 lelaki serta 3 wanita akan bermain sape secara berpasangan dalam tempoh 10 minit dengan penyerahan sijil pengiktirafan MBR akan dilakukan pada Ahad.

Pemain Sape terkenal yang selalu membuat persembahan di luar negara yang digelar sebagai "Master Sape" Mathew Ngau Jau diberi perhormatan memulakan persembahan bersama dengan rakannya Solomon Gau di Auditorium Miri.-- Bernama   


sape, Miri

Artikel Berikut

Artikel Lain