Rasa tak puas hati antara dua murid punca kes buli - Polis - Semasa | mStar

Rasa tak puas hati antara dua murid punca kes buli - Polis

PERASAAN tidak puas hati dipercayai menjadi punca kes buli yang berlaku di sebuah sekolah rendah di Jertih di sini yang rakaman videonya menjadi tular di laman-laman sosial sejak pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata pergaduhan itu pada awalnya hanya melibatkan dua murid darjah enam namun salah seorang daripadanya bertindak mengajak rakan-rakan yang lain untuk menyerang dan membuli.

“Pihak polis memanggil lapan individu termasuk murid dan guru sekolah berkenaan untuk memberi keterangan berhubung kes buli ini. Selain itu, pihak polis turut merampas sebuah telefon pintar yang dipercayai digunakan bagi merakam kejadian itu untuk dianalisa.

“Telefon bimbit itu akan dihantar ke unit forensik di Kuala Lumpur bagi mengenal pasti ketulenan video dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Tambahnya, kesemua pelajar yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata mangsa buli itu telah menjalani sesi kaunseling di rumahnya bermula semalam.

"Sesi kaunseling yang dijalankan oleh kaunselor Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Pejabat Pendidikan Daerah Besut ini diharap dapat membantu memulihkan semula semangat mangsa supaya dapat meneruskan kehidupan seperti biasa dengan lebih positif.

"Murid yang membuli juga turut menjalani sesi kaunseling agar mereka tahu perkara yang mereka buat itu adalah salah di sisi undang-undang dan manusiawi. Sepatutnya mereka bersekolah dalam suasana yang harmoni, tambahan pula mereka adalah rakan sekelas," katanya.

Sesi kaunseling itu akan diteruskan sehingga mangsa menunjukkan perkembangan yang positif, katanya.

Video berdurasi satu minit 26 saat itu mula tular di Facebook sejak tengah hari semalam yang memaparkan seorang murid lelaki dipukul sekurang-kurangnya tiga murid lelaki, dipercayai dirakam seorang murid lain.- Bernama

Buli pelajar , Besut

Artikel Sebelum

47 rakyat Malaysia di penjara Kemboja bebas

Artikel Berikut