Pemandu treler maut ditimpa kayu balak setelah terjatuh dalam gaung - Semasa | mStar

Pemandu treler maut ditimpa kayu balak setelah terjatuh dalam gaung

Gambar Hiasan

SEORANG pemandu maut ditindih muatan kayu balak selepas lori treler dipandunya itu terjatuh ke dalam gaung dalam nahas jalan raya di Kilometer 25 di Bukit Layang-Layang Jalan Tenom-Sipitang malam Khamis.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Dominic, mati di tempat kejadian.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, balai bomba jabatan itu di Tenom menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 8.28 malam dan menghantar sebuah jentera bersama tujuh pegawai serta anggota.

Kenyataan itu berkata lori treler membawa muatan kayu balak itu terbabas sendiri dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 35 meter.

Menurut kenyataan itu, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan mengorek tanah disebabkan mangsa tertindih muatan kayu balak.

Operasi tamat pada pukul 12.35 tengah malam dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. -- BERNAMA

Lori Balak , Balak

Artikel Lain