Dah tak perlu takut gemuk! Roti canai paling sihat di dunia akan dijual di Malaysia - Semasa | mStar

Dah tak perlu takut gemuk! Roti canai paling sihat di dunia akan dijual di Malaysia

Roti canai 'lebih sihat' diperkenalkan bagi memberikan pilihan kepada penggemar hidangan ini menikmatinya tanpa bimbangkan risiko kesihatan. -fotoTHESTAR

PETALING JAYA: Roti canai dan rakyat Malaysia memang tidak dapat dipisahkan, namun mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kandungan karbohidratnya yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit berbahaya.

Hollista Colltech Ltd dengan kerjasama Kawan Food Berhad memperkenalkan 'Roti Canai Paling Sihat di Dunia' yang rendah indeks glisemik dan kandungan lemak untuk memberikan alternatif kepada penggemar roti canai.

Roti canai sejuk beku yang akan dipasarkan pada April depan ini tidak mengandungi bahan kimia dan masih mengekalkan rasa asli roti canai.

Ketua Pegawai Eksekutif Holista Colltech, Datuk Dr Rajen M berkata, roti canai sejuk beku itu akan membantu menangani masalah penyakit obesiti yang semakin meningkat di negara ini.

"Kalau kita makan roti canai atau roti putih, gula dalam darah akan meningkat dengan pantas. Ini adalah tidak sihat kerana menyebabkan kita mengalami darah tinggi, diabetes, jantung, obesiti, merendahkan tahap tenaga, teringin makan (food cravings) dan mengantuk.

"Jadi, kami memperkenalkan kaedah baharu yang digunakan di peringkat antarabangsa untuk merendahkan risiko penyakit tersebut melalui pengambilan makanan berindeks glisemik rendah," katanya ketika ditemui pada sesi taklimat media World's Healthiest Roti Canai di sini pada Rabu.

Dr Rajen (kanan) dan Timothy menunjukkan hidangan roti canai berindeks glisemik rendah pada sesi taklimat media yang diadakan di Hotel PJ Hilton di sini, Rabu.

Tambah beliau, antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan roti canai paling sihat itu adalah kacang bendi, kacang dhal, barli dan halba.

Roti canai tersebut disasarkan untuk merendahkan sebanyak 40 peratus daripada 70 bacaan purata global roti paratha (flatbread).

Hollista Coltech Ltd merupakan syarikat penyelidikan bioteknologi yang menghasilkan bahan-bahan semula jadi kelas pertama dan produk kesihatan yang berpangkalan di Perth, Australia.

Sementara itu, Kawan Food Berhad pula adalah pembekal makanan sejuk beku utama yang menghasilkan produk seperti roti, paratha, capati, pemanis mulut, pastri dan sayur.

Pengarah Urusan Kawan Food Berhad, Timothy Tan berkata, syarikatnya bukan sahaja akan memasarkan produk terbaharu tersebut di Malaysia, tetapi turut menemui pengguna di Amerika Syarikat pada Jun depan.

"Kami bangga dapat bekerjasama dengan Hollista untuk menjadi yang pertama di dunia yang menawarkan flatbreads sihat seperti roti canai dan capati.

"Penyelidikan dan percubaan produk dirancang akan dilaksanakan oleh Universiti Sydey, Australia pada bulan ini bagi mencapai piawaian antarabangsa indeks glisemik," ujarnya.

Setakat ini, harga bagi produk tersebut belum diputuskan dan akan dimaklumkan pada majlis pelancarannya yang dijangka berlangsung April depan.

roti canai , gemuk , obesiti , sihat , glisemik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Klik

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

Artikel Lain