suria

Rasuah: Abdul Azeez diikat jamin RM800,000, Abdul Latif RM500,000

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta, dibenar diikat jamin RM800,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, 61, yang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez, 52, dibenar diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Azura Alwi turut memerintahkan dua beradik itu membayar jaminan tersebut hari ini berserta syarat tambahan iaitu pasport mereka perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah juga membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan supaya kes yang dihadapi Abdul Latif dibicarakan bersama dengan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Abdul Azeez.

Hakim itu menetapkan 27 Mac untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Terdahulu, Sri Ram menawarkan jaminan masing-masing RM800,000 dan RM500,000 dengan seorang penjamin terhadap Abdul Azeez dan Abdul Latif dan jumlah itu tidak dibantah oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili dua beradik itu.

Ketika pertuduhan kes rasuah dibacakan secara berasingan ke atas dua beradik itu oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura, Abdul Azeez, yang lengkap bersut hitam dan abangnya, yang memakai kemeja biru dengan tenang berkata, "mohon dibicarakan".

Abdul Azeez, yang merupakan Anggota Majlis Tertinggi UMNO, turut mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di Mahkamah Sesyen berasingan di hadapan Hakim Rozina Ayob sebelum kes itu dipindahkan di hadapan Hakim Azura.

Prosiding itu turut dihadiri bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

Dua beradik itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 8.12 pagi dengan diiringi beberapa pegawai SPRM.

Mereka selesai membayar wang jaminan itu pada pukul 1.15 tengah hari.  -- Bernama

Azeez, Latif, SPRM

Artikel Berkaitan

Artikel Lain