suria

Bekas calon AMK Shah Alam maut ditetak tiga lelaki

Thiyahu Marimuthoo.

SHAH ALAM: Seorang operator kilang maut selepas ditetak dengan parang di sebuah flat di Jalan Plumbum petang Isnin.

Mangsa dikenal pasti sebagai Thiyahu Marimuthoo, 30, mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam.

Difahamkan Thiyahu merupakan bekas calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shah Alam yang bertanding pada pemilihan parti itu tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di muka, kepala, tangan dan kaki.

"Mangsa dikejarkan ke hospital oleh orang ramai. Mangsa dipercayai ditetak tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta berwarna perak. Motif pembunuhan sedang disiasat," katanya.

Beliau berkata polis juga sedang mengenal pasti suspek terlibat.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 21 saat itu menjadi tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki sedang terbaring dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditetak.

Dalam video itu turut kelihatan empat lelaki dan seorang wanita yang cuba membantu mangsa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Najwan Halimi dalam satu mesej yang dimuatnaik melalui akaun Facebook mengucapkan takziah kepada mangsa yang juga calon AMK pada pemilihan peringkat cabang Oktober lalu.

“Dengan penuh dukacita saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang, M Thiyahu yang disahkan meninggal dunia petang tadi (Isnin). Semoga keluarga mendiang tabah dan kuat menghadapi saat-saat mencabar ini.

“Saya mengenali mendiang Thiyahu secara peribadi dan beliau adalah seorang anak muda yang baik dan berbudi pekerti mulia serta suka membantu masyarakat di sekitar kawasan pangsapuri.

“Beliau adalah anggota Keadilan dan juga salah seorang calon pimpinan Angkatan Muda Keadilan yang bertanding bersama-sama saya dalam pemilihan peringkat cabang Shah Alam, baru-baru ini,” katanya.

maut, tetak

Artikel Sebelum

Kadar sewa kuarters PPj tak naik

Artikel Berikut

Artikel Lain