Pengganti Sultan Muhammad V diketahui 24 Januari ini

Kelihatan kenderaan yang membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar beredar keluar daripada Istana Negara pada Isnin selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja berhubung perletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketua negara baharu Malaysia akan diketahui pada 24 Januari ini selepas Majlis Raja-raja mengadakan mesyuarat khas bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 daripada kalangan raja-raja Melayu.

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong baharu itu dilakukan susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Isnin.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata mesyuarat khas bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan timbalannya itu diputuskan oleh Raja-raja dalam pertemuan di Istana Negara pada Isnin.

Dalam tempoh kekosongan takhta itu, Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah akan memangku jawatan berkenaan sehingga urusan pelantikan ketua negara yang baharu selesai.

Pertemuan itu turut menetapkan 31 Januari sebagai tarikh Mesyuarat Khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong baharu dan timbalannya.

Pertemuan pada Isnin dihadiri Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah tidak berangkat menghadiri pertemuan itu kerana kurang sihat manakala Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berada di luar negara.

Menurut laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sekiranya kekosongan berlaku kepada jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap pelantikan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dapat diputuskan secepat mungkin memandangkan beliau sendiri perlu menghadap Seri Paduka Baginda bagi urusan tertentu.

Peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV adalah yang pertama dalam sejarah Malaysia yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Baginda menjalankan tanggungjawab bagi jawatan itu mulai 13 Disember 2016 sehingga 6 Januari 2019. - BERNAMA

Agong, Sultan Muhammad V

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain