Mufti Perlis ulas isu surat terbuka, “Saya tulis juga tapi tak sehangat warkah sehari dua ni” - Semasa | mStar

Mufti Perlis ulas isu surat terbuka, “Saya tulis juga tapi tak sehangat warkah sehari dua ni”

Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

PETALING JAYA: Kemunculan surat terbuka yang dikongsi secara umum di media sosial baru-baru ini menjadi bualan hangat netizen, sehingga turut menarik perhatian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau yang juga dikenali sebagai Dr Maza terlebih dahulu mengeluarkan surat terbuka pada 22 Disember lalu, yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

“Walaupun ia mendapat liputan media dan perkongsian yang agak tinggi di dunia maya, namun tidak sehangat perbincangan warkah sehari dua ini.

“Sejak di sekolah saya memang minat sastera. Pernah memenangi pertandingan menulis sajak. Di Jordan saya belajar Sastera Arab dan Syariah. Sehingga hari ini saya masih lagi kadangkala menulis puisi dan ada puisi saya yang menjadi lirik lagu nyanyian AlGebra, Kopratasa, Aishah, Dakmie dan Mawi,” katanya menerusi perkongsian di halaman Facebook miliknya pada Rabu, tanpa merujuk warkah tertentu yang kini hangat diperkatakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh surat untuk adinda Nurul Izzah, tapi Mujahid tenang, “Seronok baca komen...”

ARTIKEL BERKAITAN: Najib persenda surat Mujahid untuk Nurul Izzah, 'Dah berapa malam tak tidur?'

Dr Maza berkata, kepuitisan bahasa mempunyai pengaruh yang tersendiri sebagaimana al-Quran mempunyai bahasa yang maha indah dan tepat bagi yang mengkaji dan memahami, malah tepat pada keadaan dan sasaran.

Sehubungan itu jelasnya, permainan bahasa adalah penting dan perlu sampai kepada sasaran yang dimaksudkan, atau dalam bahasa Arabnya dipanggil Balaghah.

“Ertinya tujuan keindahan bahasa supaya ia berkesan secara mendalam di jiwa yang menjadi sasaran ungkapan. Kadangkala bahasa yang ringkas lebih berkesan dibandingkan yang panjang. 

“Mungkin juga bahasa yang agak tegas atau formal lebih berkesan dari yang berbunga-bunga. Kesemua itu bergantung kepada konteks, diri yang mengungkap dan pihak yang ditujukan ungkapan,” katanya yang mengeluarkan surat terbuka pada Sabtu lalu, antaranya mengkritik dasar pendidikan negara yang dilihat semakin menjauhi semangat keharmonian kaum dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Dr Maza turut menasihatkan masyarakat supaya mengelak menggunakan ‘bahasa yang salah tempatnya dan tempat yang salah bahasanya’.

“Semak diri kita yang mengucapkan dan diri yang disasar ungkapan kepadanya. Kenali juga konteks semasa ungkapan itu diluahkan. Inilah yang kita semua wajar lakukan,” katanya.

Mujahid (kiri) dan Nurul Izzah.

Selasa lalu, media sosial kecoh dengan surat terbuka daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa buat Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Surat yang bertajuk ‘Warkah Dari Cordova Untuk Nurul Izzah’, yang dimuat naik di halaman Facebook beliau sepanjang 25 perenggan itu, memanggil Nurul Izzah sebagai 'adinda' dan membahasakan diri beliau sebagai 'kekanda'.

“Ke hadapan Adinda Nurul Izzah yang dikasihi, kekanda kini dalam perjalanan darat 3 jam dari bandar bersejarah Cordova ke Madrid. Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda setelah keputusan adinda tempoh hari. 

“Semoga adinda berada dalam keadaan sihat dan tenang menghadapi berbagai cabaran selaku ‘Puteri Reformasi’,” demikian permulaan warkah tersebut.

Selepas kurang 24 jam surat terbuka untuk Nurul Izzah yang juga bekas naib presiden PKR itu menjadi bahan usikan dan sindiran, Mujahid tampil memberi penjelasan dengan respons pertamanya adalah ‘seronok’.

“Seronok saya membaca komen-komen berkisar warkah saya kepada YB (Yang Berhormat) Nurul Izzah. Saya sengaja memilih lenggok bahasa begitu untuk menyampaikan mesej saya kali ini. Ternyata istilah kekanda adinda lebih menarik perhatian semua,” katanya di Facebooknya, Rabu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jutaan kelapa tempatan tak laku!

Artikel Lain