suria

Kahwin serentak! Setiap pasangan bayar RM500 sahaja

ALOR SETAR: Tiga pasangan pengantin dari Kampung Seberang Alor, Hutan Kampung, di sini, cukup bertuah apabila diraikan serentak dalam program Majlis Walimatulurus Perdana, yang sangat meriah pada Sabtu.

Walaupun program anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kampung Seberang Alor itu dibuat secara sederhana, namun kira-kira 500 tetamu hadir untuk meraikan hari bahagia pasangan Nur Atirah Saiful Anuar, 21, dan Zulkifli Mustafa, 21; Muhd Amirul Faiz Mohd Zamri, 24 dan Amiza Jamil, 22; serta  Amirul Othman, 31, dan Fatin Sofie Aina Narzeman, 20.

Pengerusi kelab tersebut Mohmad Nasir Ismail berkata, program itu julung kali diadakan dengan kerjasama Surau An-Nahdlatul Al-Islamiyyah, di sini, bertujuan membantu golongan muda yang ingin mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana.

"Selalunya, apabila hendak buat majlis perkahwinan memerlukan kos tinggi yang boleh mencecah sehingga RM15,000 ke RM20,000. Jadi kita (kelab) bersama kariah surau telah mengadakan mesyuarat fikir bagaimana boleh bantu tiga pasangan pengantin ini untuk buat kenduri tanpa membebankan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis itu.

Menurut Mohmad Nasir, setiap pasangan pengantin yang menyertai majlis itu hanya dikenakan bayaran sebanyak RM500 sahaja, sementara perbelanjaan untuk majlis perkahwinan ditanggung sepenuhnya menerusi sumbangan pelbagai pihak.

“Kos keseluruhan majlis ini berjumlah RM16,000 di mana kita berjaya mengumpulkan wang tersebut dalam tempoh dua bulan menerusi sumbangan pelbagai pihak termasuk daripada Anggota Parlimen dan agensi kerajaan," katanya.

Katanya, majlis itu sepatutnya disertai lima pasangan, namun pihaknya terpaksa memilih tiga pasangan sahaja memandangkan lokasi majlis perkahwinan itu tidak mampu menampung kehadiran tetamu daripada pihak lima pasangan pengantin.

Terdahulu, majlis yang diadakan di perkarangan Surau An-Nahdlatul Al-Islamiyyah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar. - Bernama

kahwin serentak

Artikel Lain