suria

RM543 juta harga minimum kapal Equanimity

KUALA LUMPUR: Kapal layar mewah Equanimity akan dijual tidak kurang daripada AS$130 juta (RM543 juta).

Peguam, S. Sitpah, yang mewakili kerajaan berkata, harga itu ditetapkan selepas kapal layar tersebut yang dahulunya dimiliki oleh ahli perniagaan yang dalam buruan, Low Taek Jho, dinilai oleh penilai bebas, United Kingdom Winterbothams.

"Sekarang ada harga rujukan untuk pembeli yang berpotensi," tambah Sitpah.

Sitpah juga mengatakan bahawa kerajaan menerima perintah mahkamah untuk membenarkan fasa kedua jualan tersebut.

"Fasa pertama menerima tawaran, tetapi tawaran tidak mendapat tahap persetujuan. Oleh itu, kita perlu bergerak ke fasa kedua," katanya.

Fasa kedua, kata Sitpah, akan menjadi jualan biasa melalui rundingan persendirian.

Tarikh muktamad jualan adalah 31 Mac 2019.

Beliau berkata demikian selepas pengurusan kes di Mahkamah Admiralti, di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Khadijah Idris di sini, Khamis.

Pada 19 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa Equanimity milik dua anak syarikat 1MDB - dan secara tidak langsung kerajaan Malaysia, selepas pemilik berdaftarnya gagal hadir ke mahkamah untuk menuntut kapal tersebut.

Selain 1MDB dan kerajaan, dua lagi plaintif adalah 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited, kedua-duanya merupakan anak syarikat 1MDB.

Pada 5 Oktober lalu, mahkamah membenarkan permohonan oleh empat plaintif untuk melantik seorang broker pusat dan penilai antarabangsa untuk mengendalikan penjualan kapal itu.

Ini susulan keputusan oleh mahkamah yang sama pada 24 Ogos lalu, dalam memberikan permohonan oleh empat plaintif untuk menjualnya.

Empat plaintif telah menamakan pemilik kapal, Equanimity of Cayman Islands, sebagai defendan di dalam tuntutan itu.

Dalam notis permohonan mereka, keempat-empat plaintif memohon penjualan kapal, bunker, minyak, pelincir dan barang lain yang boleh digunakan di atas kapal dilakukan menerusi tender awam atau perjanjian peribadi oleh sheriff atau pendaftar Mahkamah Admiraliti.

Keempat-empat pihak mahu pihak sheriff menerima bida atau tawaran untuk kapal dan bunker dan dana pembelian yang dibayar kepada sheriff hendaklah dalam matawang Dolar Amerika Syarikat atau euros atau Ringgit Malaysia.

Menurut mereka hasil penjualan kapal handaklah dibayar kepada mahkamah dan dimasukkan ke dalam akaun bank di Malaysia yang diluluskan oleh pejabat Akauntan Negara. - The Star

Equanimity

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Mas Ermieyati sertai Bersatu

Artikel Lain