suria

Kes beli hotel, Isa Samad didakwa esok

Mohd Isa Samad.

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bakal menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok berhubung kes pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Mohd Isa akan didakwa berkaitan kes pembelian hotel oleh FIC di Kuching, Sarawak.

Mohd Isa pada Khamis berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini , dan menurut peguamnya Datuk K. Kumarendran, kehadirannya adalah bagi menandatangani surat akujanji bahawa beliau akan hadir di mahkamah pada Jumaat.

Mohd Isa tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira 10.45 pagi dengan ditemani isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid, sebelum meninggalkan bangunan SPRM itu kira-kira 20 minit kemudian.

Pada 30 Ogos lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan sebagai berkata pihak pendakwa raya dalam pertimbangan untuk membuat pertuduhan terhadap Mohd Isa membabitkan kes pembelian hotel oleh FIC.

Pada 21 Jun 2017, Mohd Isa dan isterinya tampil memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya, sebelum SPRM membuka kertas siasatan baharu berhubung pembelian hotel di Kensington, London dan Kuching antara tahun 2013 dan 2015.

FIC dipercayai membeli hotel di Kensington pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal sehingga mengakibatkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah syarikat Malaysia yang mengendalikan urusan jual beli hotel berkenaan memperoleh keuntungan sebanyak RM78 juta berdasarkan kadar tukaran semasa mata wang asing dalam tempoh 24 jam menerusi transaksi berkenaan.

SPRM turut menjalankan siasatan berhubung kes pembelian hotel di Kuching oleh FIC, yang juga dipercayai membabitkan harga lebih tinggi daripada harga pasaran. - BERNAMA

Isa Samad, hotel

Artikel Sebelum

Mas Ermieyati sertai Bersatu

Artikel Lain