suria

Tragedi kebakaran rumah kedai: Bapa terkilan tak beri RM5 kepada anak

Kebakaran pada petang Selasa lalu mengorbankan enam mangsa.

IPOH: Bapa kepada salah seorang mangsa tragedi kebakaran sebuah rumah kedai di kawasan perindustrian Jelapang Maju pada Rabu terkilan kerana tidak memberikan wang RM5 kepada anak lelakinya sebelum pergi bekerja pada hari kejadian.

Mohd Husni Kasman, 47, dari Kampung Sri Aman, Menglembu di sini berkata Mohamad Nor Ikhram, 16, anak ketujuh daripada lapan beradik, meminta wang tersebut tetapi dia tidak ada wang kecil pada waktu itu.

"Saya beritahu dia untuk minta wang RM5 daripada isteri saya," kata Mohd Husni ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Abdul Rahman Bahak, 45, dari Kampung Sri Aman, bapa kepada Mohd Nor Aiman, 16, berkata dia berasa pelik anak lelakinya itu mahu menghantarnya ke tempat kerja pada hari kejadian.

Katanya, Mohd Nor Aiman, anak sulung daripada empat beradik baharu sahaja memulakan kerja sambilan itu sejak cuti persekolahan kerana mahu membantu mereka sekeluarga.

Lima mangsa tragedi kebakaran rumah kedai di kawasan perindustrian Jelapang setuju semua jenazah disemadikan dalam satu liang lahad. - fotoBERNAMA

"Saya terkejut apabila terdengar berita mengenai insiden itu daripada seorang rakan ketika di tempat kerja," kata pemandu lori itu.

Sementara itu, keluarga kepada lima mangsa tragedi kebakaran itu bersetuju kesemuanya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari, Menglembu.

Pada petang Selasa lalu, enam lelaki dilaporkan maut selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran tersebut.

Jeritan kuat enam mangsa kebakaran meminta tolong kedengaran selama hampir 10 minit sebelum senyap secara tiba-tiba.

Kesemua mangsa termasuk pemilik premis berusia 42 tahun ditemukan dalam keadaan rentung di tingkat dua bangunan terbabit dan di tiga lokasi berasingan iaitu masing-masing dua di hadapan tangga, di bilik air dan di sebuah bilik kerja.

kebakaran, rumah kedai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain