Pasukan petugas kuil dakwa Muhammad Adib dilanggar jentera bomba, bukan dipukul - Semasa | mStar

Pasukan petugas kuil dakwa Muhammad Adib dilanggar jentera bomba, bukan dipukul

Regu (kanan) pada sidang media di kuil Sri Maha Mariamman Seafield.

SUBANG JAYA: Pihak kuil Sri Maha Mariamman Seafield mendakwa anggota bomba yang cedera pada Isnin lalu tidak dipukul, tetapi sebenarnya dilanggar oleh jentera bomba.

Setiausaha pasukan petugasnya, V. K. Regu berkata, terdapat tiga video yang tersebar di media sosial yang menunjukkan jentera bomba berundur secara tiba-tiba, dan Muhammad Adib berada di belakangnya.

"Jika anda melihat video itu, ia menunjukkan anggota bomba itu dilanggar oleh jentera bomba semasa ia berundur dan tercampak ke arah van bomba yang berada di belakang jentera bomba.

"Video itu juga menunjukkan bahawa orang ramai tidak memukul anggota bomba berkenaan, tetapi sebenarnya cuba memberi isyarat kepada jentera bomba supaya berhenti dan membawa anggota bomba yang cedera ke hospital," katanya pada sidang media di kuil itu pada Rabu.

Beliau menambah, pasukan petugas kuil itu telah menghantar kesemua video tersebut kepada pihak berkuasa dan menggesa polis untuk menyiasat apakah yang sebenarnya berlaku pada malam kejadian.

Terdahulu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Jerald Joseph mengadakan lawatan ke kuil tersebut dan memberitahu bahawa suruhanjaya itu akan menyiasat sekiranya terdapat sebarang pelanggaran hak asasi manusia sejak beberapa hari lepas.

"Kami juga menggesa kerajaan persekutuan dan negeri menyelesaikan isu ini dengan adil dan segera," katanya.

Muhammad Adib mulanya dimasukkan ke unit jagaan rapi di pusat perubatan Ramsay Sime Darby selepas cedera ketika bertugas, kira-kira pukul 1 pagi Selasa.

Beliau merupakan sebahagian daripada sekumpulan sembilan anggota bomba yang bergegas ke lokasi kejadian kebakaran di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di USJ 25, di mana sekumpulan perusuh membantah mengenai penempatan semula kuil tersebut.

Dilaporkan para perusuh mengheretnya keluar dari kenderaan dan menyerangnya menyebabkan dia mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan dalaman. - The Star

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain