suria

Peguam dalang kekecohan di kuil, upah perusuh RM150,000 - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Peguam syarikat pemaju yang terbabit dalam isu  kuil Sri Maha Mariamman Seafield telah mengupah sekumpulan lelaki untuk mencetuskan kekecohan di situ.

Hasil siasatan polis itu didedahkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media khas bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Katanya, siasatan mendapati ketua kumpulan itu telah menerima sejumlah RM150,000 daripada peguam terlibat untuk diagihkan kepada perusuh.

"Kumpulan terbabit dibayar untuk melakukan kerja menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil.

"Lebih kurang 50 orang diupah untuk melakukan kerja itu dan setiap seorang menerima antara RM150 hingga RM300," katanya pada sidang media di Putrajaya, Rabu.

Kata Muhyiddin, dua peguam terlibat adalah antara 21 individu yang ditahan polis.

Kumpulan lelaki terbabit telah menceroboh kuil dan mengawal kawasan tersebut sebelum pemaju dan polis tiba pada awal pagi 26 November lalu.

Menurut Muhyiddin, tindakan kumpulan itu telah menimbulkan kemarahan penganut Hindu di kawasan kejadian sehingga menimbulkan kekecohan, pergaduhan dan kerosakan harta benda.

"Saya kesal dengan tindakan gopoh dan cuai pihak dikaitkan dengan syarikat pemaju yang jelas melanggar undang-undang.

"Sekiranya tindakan ini tidak diambil, saya percaya insiden pergaduhan di antara kumpulan lelaki Melayu dan penganut Hindu di kuil Sri Maha Mariamman tidak berlaku," katanya.

kuil, Seafield, Muhyiddin

Artikel Lain