suria

Hati-hati beli tiket AirAsia, jangan sampai tertipu

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia menggesa orang ramai supaya membeli tiket menerusi saluran rasmi sahaja bagi mengelakkan sebarang masalah tidak diingini.

Ia termasuklah kes-kes penipuan yang mana segelintir pelanggan membuat tempahan dan pembelian tiket penerbangan menerusi laman web lain.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan AirAsia pada Isnin, orang ramai boleh membuat tempahan menerusi laman web airasia.com ataupun menerusi aplikasi telefon bimbit AirAsia.

Selain dua platform itu, tiket penerbangan syarikat berkenaan boleh didapati menerusi ejen pelancongan yang diiktiraf dan AirAsia Travel Service Centres (ATSC).

Untuk senarai penuh lokasi pejabat jualan rasmi AirAsia, pelanggan boleh melawat pautan https://www.airasia.com/my/en/contact-us/sales-office.page.

Dalam pada itu pihak AirAsia juga menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan penipuan penjualan tiket melibatkan syarikat itu supaya membuat laporan agar siasatan dapat dijalankan.

Untuk berhubung dengan AirAsia, orang ramai boleh mengikuti mereka menerusi laman sosial rasmi di Facebook, Twitter dan saluran pertanyaan di www.airasia.com/ask.

Menerusi kenyataan itu juga, AirAsia berkata, mereka komited dalam membanteras mana-mana individu mahupun kumpulan yang menjalankan sebarang kegiatan haram dengan menggunakan nama mereka.

AirAsia

Artikel Sebelum

Artikel Lain