suria

Remaja perempuan maut kepala tersangkut besi buaian

Mangsa meninggal dunia akibat pendarahan pada kepala dan telinga. Foto FACEBOOK/AHMAD FIKHRI AMIR TEH

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun maut apabila kepalanya tersangkut pada besi sejenis buaian di Taman Metropolitan Kepong di sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP S Shanmugamoorthy Chinniah berkata kejadian berlaku semasa remaja itu sedang bermain bersama saudaranya pada kira-kira pukul 6.30 petang.

“Akibat kejadian itu, darah keluar daripada bahagian telinga serta kepala, dan dengan bantuan orang awam mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan Ahad.

Beliau berkata remaja itu kemudiannya dibawa ke Hospital Selayang sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 7.30 petang.

“Proses bedah siasat akan dijalankan hari ini untuk mengenalpasti punca kematian,” katanya.

Sementara itu beberapa penduduk yang tinggal berhampiran taman memberitahu buaian yang ditempatkan di taman rekreasi berkenaan adalah untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) dan tidak sesuai digunakan oleh pengunjung lain.

Seorang peniaga, Amy Kor, 34, mendakwa anaknya pernah mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan akibat bermain buaian berkenaan kira-kira tiga tahun lepas.

“Kakinya retak dan tiga jari tangan hancur akibat bermain buaian itu,” katanya dan menambah bahawa buaian itu sudah berkarat, tidak sesuai digunakan lagi.

Sementara itu, seorang anggota keluarga remaja itu yang ingin dikenali sebagai Priya, 23 berkata remaja berkenaan bermain buaian itu bersama saudaranya yang lain tanpa mengetahui buaian itu adalah khusus bagi golongan OKU.

"Tidak ada sebarang papan tanda bahawa buaian itu bagi golongan OKU. Dia bersama tujuh lagi saudara lain datang untuk bermain di taman permainan itu sebelum kepalanya tersangkut di celah besi,” katanya. - BERNAMA

buaian, maut

Artikel Lain