suria

"Misi saya untuk hiburkan orang" - Ucop berangan buat persembahan di Anugerah MTV

Nama jejaka ini mula meniti di bibir masyarakat dengan kemunculan video-video Dubsmash yang menghiburkan, sekitar 2014. - Foto AZLINA ABDULLAH

LAIN orang lain seleranya. Ada dalam kalangan kita yang kurang gemar berkongsi kehidupan peribadi di laman sosial, namun ada juga yang menjadikan platform itu sebagai medan perkongsian segala aktviti sehingga mampu mengumpul ratusan ribu pengikut.

Apa yang menjadikan begitu ramai pelayar laman sosial berminat untuk mengikut akaun mereka? Dan pasti juga ramai yang tertanya-tanya, adakah ia sesuatu yang menyeronokkan untuk memiliki ramai pengikut?

Kali ini, mStar Online mendapatkan Instafamous popular, Yusof Hashim atau Ucop yang memiliki 715,000 pengikut di Instagram untuk menjawab persoalan itu.

Ucop berkata, dia mula menari secara professional sejak berusia 16 tahun.

Menurut Ucop, 25, memiliki ramai peminat disifatkan sebagai satu anugerah untuk dirinya untuk terus berkarya dan menjadi diri sendiri.

Dia yang mula menjadi sebutan ramai sekitar 2014 gara-gara aksinya menerusi video Dubsmash kini bukan sekadar 'penghibur' di laman Instagram sahaja.

Malah, dia turut meneroka pelbagai cabang seni lain termasuklah lakonan, penulisan lagu, nyanyian, serta seni tari yang sudah menjadi sebahagian daripada dirinya sejak di bangku sekolah lagi.

Dia turut menghasilkan single berjudul Joget yang sudah menerima lebih 76,000 tontonan sejak dimuat naik ke platform Youtube, sekitar lapan bulan lalu.

[ Saya tak meletakkan diri saya dalam satu kategori atau dalam satu kotak sahaja. Misi saya adalah untuk menghiburkan orang, untuk hiburkan orang kita kena jadi versatil]

[Ucop]

Menurut jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini, perubahan terbesar dalam hidupnya pada hari ini tentunya publisiti yang diterima.

"Pada saya perubahan terbesar adalah publisiti. Pergi ke mana-mana sahaja orang kenal. Namun gaya hidup saya tidaklah berubah 100 peratus.

"Peminat saya juga ada banyak kategori. Ada yang suka tengok saya buat lip-sync, ada yang suka muzik saya, tak kurang juga yang ikut sebab suka tengok saya menari," ujarnya.

Video-video Dubsmash Ucop sememangnya menjadi sebutan ramai sehingga dia digelar sebagai King of Dubsmash.

Mengimbas permulaan kepada populariti yang diterimanya, Ucop berkata dia diperkenalkan dengan aplikasi Dubsmash oleh rakan-rakan dan melakukannya secara suka-suka sahaja tanpa mengharapkan ganjaran publisiti.

"Video pertama yang berjaya mencuri perhatian ramai adalah lakonan semula dialog antara Lady Gaga dan Beyonce dalam muzik video kolaborasi mereka, Telephone.

"Saya buat video bukan sebab nak viral, saya buat suka-suka sahaja dan tak sedar sehinggalah kawan-kawan bagitahu ramai orang tengok video. Tengok-tengok pengikut pun mula bertambah.

"Saya juga buat video-video tu sebab saya suka jadi penghibur, suka buat persembahan. Pernah suatu ketika dahulu seorang DJ radio tanya saya nak jadi apa?

Ujar Ucop, penghasilan single Joget memberi lebih kepuasan untuk dirinya.

"Saya tak meletakkan diri saya dalam satu kategori atau dalam satu kotak sahaja. Misi saya adalah untuk menghiburkan orang, untuk hiburkan orang kita kena jadi versatil," katanya lagi.

Ucop yang mengagumi penyanyi Lady Gaga, Prince dan M.I.A berkata, dia sering bertanya pada diri sendiri, apa lagi yang boleh dikongsikannya dengan orang ramai di luar sana.

Jelas Ucop, dengan kapasiti pengikut yang dimiliki, dia perlu menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk memberi sesuatu yang bermanfaat buat mereka.

Bukan sekadar hebat menari, dia juga memiliki kemampuan dalam penulisan lagu.

Bercerita mengenai masa hadapan, Ucop yang turut digelar sebagai King of Dubsmash berkata, dia bercita-cita untuk melebarkan sayap ke pentas antarabangsa dalam tempoh lima tahun lagi.

Malah katanya, dengan muzik yang dibawa, dia membayangkan dirinya untuk membuat persembahan pembukaan di Anugerah MTV, suatu hari nanti.

Dengan kepelbagaian bakat yang dimiliki, impian itu pastinya tidak mustahil untuk digapai jejaka ini.

Artikel Lain