suria

Wanita hamil meluru ke kereta polis ada masalah mental, polis rekod kenyataan suami

PETALING JAYA: Polis telah merekod kenyataan daripada suami wanita hamil yang meluru minta bantuan daripada sebuah kereta polis di tengah jalan dalam kejadian  Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata polis bertemu suami wanita itu dan merakam kenyataan.

"Pemeriksaan menunjukkan bahawa wanita itu mempunyai masalah mental sebelum ini.

"Kecederaan yang ditemui di punggungnya disebabkan jatuh,"katanya.

Beliau menambah bahawa wanita itu masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Khamis lalu, dilaporkan empat anggota polis trafik yang sedang melakukan rondaan terkejut apabila seorang wanita secara tiba-tiba menerpa kenderaan yang mereka naiki untuk meminta tolong di lampu isyarat berhampiran Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sri Damansara.

Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, wanita berkenaan bertindak keluar dari sebuah teksi yang sedang berhenti di lampu isyarat berkenaan lalu berlari ke arah kenderaan polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang melalui arah sama.

Pemeriksaan menunjukkan wanita itu mempunyai lebam lama dan baharu di seluruh tubuhnya, dan polis meminta ambulan untuk membawanya ke hospital terdekat.

Siasatan menunjukkan bahawa wanita itu adalah warganegara Vietnam dan telah berkahwin dengan lelaki Malaysia serta mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Walau bagaimanapun, mangsa tidak menjawab soalan daripada pegawai penyiasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana secara sukarela menyebabkan kecederaan.

Wanita, kereta polis

Artikel Sebelum

Anwar menang di Port Dickson

Artikel Berikut

Artikel Lain