suria

PRK: 32 buah pusat mengundi di Port Dickson ditutup

PORT DICKSON: Kesemua 32 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson ditutup tepat pukul 5.30 petang ini sejak ia dibuka pada 8 pagi Sabtu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi keluar mengundi setakat 4 petang ialah sebanyak 54 peratus.

Sejurus pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 154 saluran akan dibawa pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini untuk pengiraan undi dan keputusan dijangka diumumkan pada 10 malam.

PRK itu menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara  calon Pakatan Harapan  (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar daripada PAS dan lima calon  Bebas iaitu bekas  Menteri Besar  Negeri  Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad; bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful  Bukhari Azlan; personaliti media sosial Stevie Chan Kee Leong; pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan.

Mohd Isa merupakan satu-satunya calon yang layak mengundi dan berbuat demikian di Sekolah Kebangsaan Linggi, pagi tadi.

Kawasan Parlimen Port Dickson mempunyai keseluruhan 77,750 pengundi termasuk pengundi awal dan merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus kaum Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus.

Pengundian awal yang melibatkan 7,191 pemilih terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta  polis berlangsung pada Selasa lepas.

PRK itu diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, meletak jawatan pada 12 September lepas bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dalam usaha beliau kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu Danyal Balagopal, bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia menang selesa dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Kerusi Parlimen Port Dickson, yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008, mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuah dan Lukut yang masing-masing dikuasai DAP,  Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (PKR).

PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat selepas PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, kesemuanya di Selangor, selepas PRU14 yang diadakan 9 Mei lepas.- Bernama

PRK, Port Dickson

Artikel Lain