Vendor rugi RM35,000 dakwa ditipu katerer popular

Contoh pelamin yang disediakan oleh butik Anggun by Syaza.

PETALING JAYA: Bukan hanya pengantin, malah vendor yang dikaitkan dengan sebuah syarikat katerer terkenal turut mendakwa mengalami kerugian mencecah RM35,000 selepas katerer terbabit melarikan diri.

Pemilik butik Anggun by Syaza, Intan Syaza Liana Wok Azmi, 24, mendakwa syarikat katerer tersebut gagal menjelaskan bayaran tunggakan untuk 13 majlis perkahwinan yang berlangsung sepanjang tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Katerer pakej lebih RM13,000 cabut lari, keluarga pengantin terpaksa gadai barang kemas

"Sebelum ini, kami langsung tiada masalah dengan urusan pembayaran sejak bekerjasama hampir dua tahun lalu.

"Saya tidak dapat meneruskan perkhidmatan kepada pelanggan kerana jumlah tunggakan itu agak besar," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Intan Syaza Liana turut berasa terkilan kerana tidak sempat menasihatkan para pelanggan untuk membuat bayaran pelamin, busana pengantin dan solekan secara berasingan kepadanya selepas menghidu ada sesuatu yang tidak kena dengan katerer terbabit.

Jelas pemilik butik itu, dia juga meminta katerer tersebut untuk membenarkan pelanggan membayar terus kepadanya selepas syarikat berkenaan gagal melunaskan tunggakan bayaran sebelum ini.

Paparan skrin oleh seorang pengguna Facebook yang mendakwa sebagai kakitangan katerer tersebut.

"Ada juga pasangan yang hubungi saya secara peribadi dan minta saya teruskan juga pasang pelamin untuk mereka.

"Mereka sanggup bayar 'extra' kerana pihak katerer janji akan membuat bayaran balik," ujarnya.

Terdahulu, mStar Online melaporkan impian untuk bergelar raja sehari hampir berkecai apabila dikejutkan dengan khabar pihak katerer 'cabut lari' 24 jam sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

Pengantin yang mendirikan rumah tangga pada Sabtu itu mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM7,708 terpaksa meminjam wang daripada keluarga untuk mencari katerer lain dalam tempoh 24 jam.

Seorang lagi mangsa yang hanya dikenali sebagai Teha, 21, mungkin menjadi mangsa penipuan seterusnya apabila katerer sama menghilangkan diri selepas nasib yang menimpa beberapa pelanggan tular di media sosial.

Menurut Teha, dia tidak menyangka katerer yang terkenal dan mempunyai banyak cawangan di beberapa negeri itu tergamak menganiayai pelanggan yang menggunakan khidmat mereka.

katerer kahwin

Artikel Sebelum

Hadi ajak berforum, ini jawab Tun M

Artikel Berikut

Artikel Lain