suria

Gangguan seksual: Ketua jabatan hospital dicadang gantung tugas

PETALING JAYA: Sebuah panel bebas ditubuhkan bagi menyiasat kes salah laku seksual seorang ketua jabatan di sebuah hospital di Lembah Kelang.

Menerusi statusnya di Twitter pada Isnin, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, badan siasatan bebas itu mengeluarkan dua cadangan utama.

Cadangan pertama adalah membuat laporan kepada Majlis Perubatan Malaysia untuk menyiasat ketua jabatan itu di atas salah laku profesional di bawah Akta Perubatan 1971.

Kedua adalah Kementerian Kesihatan mengambil tindakan yang perlu untuk menggantung tugas ketua jabatan berkenaan bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan.

"Hasilnya mendapati terdapat cukup alasan bagi Kementerian Kesihatan untuk meneruskan tindakan selanjutnya terhadap ketua jabatan itu.

"Mengenai khabar angin mengenai pemindahan doktor dan pakar, sila tunggu kenyataan rasmi daripada kementerian berhubung perkara tersebut," katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengulang kicau kenyataan Dr Dzulkefly.

Julai lalu, The Star menerusi muka depannya melaporkan doktor pelatih mendakwa menjadi mangsa seksual seorang ketua jabatan ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang.

Dr Dzulkefly kemudian meminta mangsa terus menghantar e-mel kepadanya, dan satu jawatankuasa yang membabitkan wakil-wakil daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditubuhkan bagi meneliti perkara tersebut.

Artikel Lain