suria

Bebas tuduhan rasuah sebab keterangan lemah, tiada campur tangan Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara menjelaskan keputusan ‘nolle prosequi’ iaitu di mana pihak pendakwaan membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan berhubung pertuduhan terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon kerana keterangan telah dilemahkan secara substantif.

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria berkata, setelah meneliti keterangan-keterangan berdasarkan penyiasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keterangan yang dikemukakan saksi-saksi pendakwaan di mahkamah yang telah diuji dengan pemeriksaan balas.

“Saya telah membuat kesimpulan bahawa hasil pemeriksaan balas yang dilakukan terhadap saks-saksi pendakwaan , keterangan yang menyokong pertuduhan pertama di bawah seksyen 23 Akta SPRM dan pertuduhan kedua di bawah seksyen 165 Akta Keseksaan telah dilemahkan secara substantif.

“Kesimpulan ini dicapai berdasarkan keterangan baharu yang timbul semasa pemeriksaan balas terhadap saksi-saksi pendakwaan.

“Setelah membuat kesimpulan-kesimpulan tersebut, saya berpandangan bahawa mungkin saya tidak memenuhi tanggungjawab saya sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk membiarkan kes diteruskan setelah mengetahui bahawa kes terhadap Guan Eng dan Li Khoon tidak akan berjaya pada akhir kes pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mohamad Hanafiah yang juga Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan menegaskan, maka dengan itu, beliau membuat keputusan supaya pihak pendakwaan ‘nolle prosequi’ pertuduhan-pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh berdasarkan seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau menyatakan bahawa amalan ‘nolle prosequi’ bukanlah suatu amalan yang luar biasa , sebaliknya telah diamalkan dalam kes-kes lain apabila menerima representasi daripada peguam dan setelah menemui keterangan baharu atau apabila keterangan menjadi lemah setelah diperiksa balas oleh pihak pembelaan.

Katanya, berhubung kes Guan Eng dan Li Khoon, terdapat bukti baharu yang tidak dipertimbangkan sebelum ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya membuat keputusan berhubung representasi tersebut tanpa sebarang pengaruh luar. Malahan terdapat satu firma guaman yang mewakili pengadu telah menghantar surat yang membantah sebarang cadangan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Guan Eng dan Li Koon namun saya telah menjawab surat tersebut dengan mengatakan bahawa saya akan memutuskan kes tersebut berdasarkan bukti sedia ada dan berlandaskan undang-undang yang mana telah saya lakukan tanpa sebarang pilih kasih.

“Adalah perlu ditegaskan bahawa keputusan untuk memulakan atau menamatkan pendakwaan ialah kuasa dan budi bicara Pendakwa Raya. Dalam kes ini, saya telah merahsiakan keputusan saya sehingga ke saat akhir dan tidak merujuk kepada agensi penyiasatan kerana bimbang keputusan tersebut akan dibocorkan dan akan menyebabkan gangguan yang tidak diingini.

“Bahkan keputusan ini adalah terlalu sulit dan saya sendiri hanya memaklumkan kepada Peguam Negara pada jam 9.44 pagi semalam,” jelasnya.

Hal demikian,Mohamad Hanafiah menjelaskan pertuduhan dan keputusan kes Guan Eng dan Li Koon dibuat tanpa sebarang campur tangan daripada Peguam Negara, Tommy Thomas.

“Peguam Negara telah menarik diri daripada semua perbincangan berkaitan kes tersebut dan tidak akan terlibat dalam membuat sebarang keputusan yang bakal diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan bekas Ketua Menteri dan ahli perniagaan atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran. - Sinar Harian

Lim Guan Eng, rasuah, banglo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lelaki cedera dilibas bapa saudara

Artikel Lain