Dua termasuk isteri ditahan bantu siasatan kes bunuh CEO Cradle Fund - Semasa | mStar

Dua termasuk isteri ditahan bantu siasatan kes bunuh CEO Cradle Fund

PETALING JAYA: Polis menahan isteri bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar dan bekas suami wanita itu kerana membunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata polis menahan dua suspek awal pagi Selasa bagi membantu siasatan kes bunuh Nazrin.

"Kami menahan seorang lelaki berusia 43 tahun di Sepang kira-kira pukul 1 pagi.

"Kira-kira sejam kemudian, seorang wanita berusia 43 tahun ditahan di Taman Tun Dr Ismail," katanya kepada The Star.

Fadzil berkata reman tujuh hari dibenarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap dua individu itu.

Nazrin ditemui mati selepas terperangkap di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara pada 14 Jun dengan kesan lecur 30 peratus di badannya.

Pada 3 Ogos lalu, polis mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh.

Menurut laporan, keputusan makmal mendapati terdapat beberapa kesan petrol ditemui di lokasi kejadian.

Samirah yang juga Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kemudian mengkritik pihak berkuasa.

Suspek pernah menuduh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat dakwaan tidak benar mengenai kes kematian mengejut suaminya yang kemudian diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Siasatan terhadap wanita itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Media melaporkan sebuah telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau sisi katil meletup semasa dicas mungkin menjadi punca kebakaran di bilik tidur yang mengorbankan Nazrin.

Cradle Fund , Nazrin Hassan

Artikel Sebelum

Warga AS bunuh bekas isteri dihukum gantung

Artikel Berikut

Sebat: Pahang bayang ikut langkah Terengganu

Artikel Berkaitan

Artikel Lain