suria

Isteri CEO Cradle Fund direman

Nazrin Hassan.

PETALING JAYA: Isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran di rumahnya pada 14 Jun lalu direman bagi membantu siasatan kes bunuh suaminya itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi The Star pada Selasa mengesahkan Samirah Muzaffar direman selama tujuh hari.

Nazrin ditemui mati selepas terperangkap di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara pada 14 Jun dengan kesan lecur 30 peratus di badannya.

Pada 3 Ogos lalu, polis mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh.

Menurut laporan, keputusan makmal mendapati terdapat beberapa kesan petrol ditemui di lokasi kejadian.

Samirah yang juga Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kemudian mengkritik pihak berkuasa.

Suspek pernah menuduh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat dakwaan tidak benar mengenai kes kematian mengejut suaminya yang kemudian diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Siasatan terhadap wanita itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Media melaporkan sebuah telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau sisi katil meletup semasa dicas mungkin menjadi punca kebakaran di bilik tidur yang mengorbankan Nazrin.

Nazrin, Cradle Fund

Artikel Lain