suria

Seram... kelibat lembaga hitam buat pemuda 'gugur jantung'

PETALING JAYA: Gara-gara mahu mencari lokasi pejabat bagi memenuhi satu janji temu, seorang lelaki dikejutkan dengan kelibat misteri.

Menerusi tulisannya yang dikongsi di Twitter @LutfaSM_3012 pada Selasa lalu, pencarian tersebut membawa kepada penemuan sesuatu yang mencemaskan, sehingga memaksa dia keluar dari kawasan bangunan pejabat tersebut meskipun pada waktu siang.

"Tadi aku ada janji temu dengan satu pejabat. Jadi, aku cari lah pejabat tu. Aku nampak satu lorong gelap.

"Kemudian aku macam nampak satu benda hitam berdiri tegak. Aku terus turun balik. Bila aku usha (memerhati) betul betul. Dia pegang senapang daaa. Seram," katanya secara berseloroh, sehingga tulisannya diulang kicau hampir 5,000 kali.

Kelibat misteri dapat dilihat dari laluan tangga ke tingkat satu yang gelap.

Menerusi nama Twitter 'Masdan', pemuda berkenaan turut memuat naik beberapa gambar, menunjukkan secara turutan dia melihat 'lembaga' yang dimaksudkan dekat laluan tangga di tingkat satu bangunan berkenaan dari jarak jauh, di tingkat bawah.

Berdasarkan gambar terakhir dengan imej yang lebih dekat menunjukkan ia rupa-rupanya sebuah lukisan dinding menyerupai seorang pengawal keselamatan.

Berwajah bengis, berjambang, imej pengawal keselamatan itu turut dilengkapi dengan senapang, dan jika dilihat dari tingkat bawah, ia seperti pengawal sebenar.

Barangkali lukisan tersebut menunjukkan seolah-olah seorang pengawal keselamatan sedang menjaga dan memantau unit pejabat itu.

Keadaan cemas pemuda berkenaan ternyata menjadikan fungsi lukisan di dinding itu mencapai objektif.

Menerusi maklum balas pengikut di Twitter, pemuda ini menjawab: "Hahaha serius seram. Kau bayangkanlah kau nampak kelibat hitam masa tengah hari. Hampir gugur jantung tadi."

Kelibat misteri sebenarnya adalah lukisan seorang pengawal keselamatan di dinding. 

Malah ada yang sempat berjenaka mengenai lelaki itu masih sempat mengambil gambar dalam keadaan yang mencemaskan itu.

"Dah seram pun sempat lagi ambil gambar? Hmm ok," katanya.

Seorang lagi netizen memberitahu kemungkinan reaksi pemuda berkenaan terkejut melihat lukisan pengawal keselamatan di dinding itu mungkin dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV).

"Cuba tengok balik di situ ada CCTV tak? Kot kot pejabat tu saja nak menyakat tengok reaksi melalui CCTV. Mahu tak terbahak-bahak (ketawa) mereka tengok," katanya.

Artikel Lain